TerasMalaysia

2 Lelaki Warga Myanmar Dicekup, Bawa Lari Barang Bernilai RM10,000

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

2 Lelaki Warga Myanmar Dicekup, Bawa Lari Barang Bernilai RM10,000

Dua lelaki warga myanmar dicekup atas kesalahan pecah masuk sebuah kedai baju di daerah Ampang Jaya dalam serbuan berasingan di Pandan Indah, di sini, pada Jumaat lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari pekerja premis jam 9 pagi pada Jumaat lalu yang mendapati pintu masuk di tingkat satu terbuka dengan mangga dipotong.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati dua lelaki dipercayai warga asing memecah masuk kedai dan melarikan barang di premis itu yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Susulan itu, kami menahan dua lelaki warga Myanmar masing-masing berusia 20 dan 22 tahun dalam dua serbuan berasingan jam 11.40 pagi, Jumaat lalu serta jam 1.20 pagi semalam di Pandan Indah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gambar Hiasan

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas beberapa barang seperti komputer riba, peti simpanan wang, alat perkakas, spanar, pelbagai telefon bimbit, jam tangan berjenama dan alat kawalan jauh kereta mainan dalam serbuan itu.

“Modus operandi suspek adalah menyasarkan premis kedai dan siasatan polis mendapati mereka turut memecah kedai dua kali di daerah ini. Semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamin,” katanya. Beliau berkata, suspek pertama direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu sehingga 30 Disember nanti.

“Suspek kedua juga direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 31 Disember nanti. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah atau premis dengan melakukan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi,” katanya.

Kesan Bencana Banjir, Harga Sayur Meningkat 3 Kali Ganda

Leave a Comment