271 penumpang pesawat panik, juruterbang tiba-tiba rebah maut dalam tandas

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

271 penumpang pesawat panik, juruterbang tiba-tiba rebah maut dalam tandas

Baru-baru ini, seorang juruterbang maut selepas rebah di tandas pesawat Latam Airlines yang dalam penerbangan dari Miami ke Santiago, Chile.

Ketika kejadian, pesawat itu membawa 271 penumpang. Kapten Ivan Andaur mula berasa tidak sihat selepas tiga jam dalam penerbangan itu.

Selepas rebah di bilik air, dia menerima rawatan kecemasan daripada anak kapal.

Penerbangan itu mengambil masa 30 minit untuk melencong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen di Panama City.

Pasukan kecemasan mengisytiharkan Andaur, seorang juruterbang veteran berpengalaman 25 tahun, meninggal dunia apabila pesawat itu selamat mendarat.

Penerbangan LA505, yang mengendalikan Boeing 787-9 Dreamliner, berlepas dari Miami pada 10.11 malam baru-baru ini, turut mempunyai kapten bantuan dan pegawai pertama, ketika kejadian itu.

“Latam Airlines Group melaporkan bahawa penerbangan LA505 yang berada di laluan Miami-Santiago, terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen di Panama City, kerana kecemasan perubatan untuk seorang daripada tiga kru komander.

“Apabila pesawat itu mendarat, perkhidmatan kecemasan bergegas ke dalam pesawat, namun juruterbang itu disahkan sudah meninggal dunia,” kata Latam Airlines dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu turut berkata, pihaknya sedih dengan apa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada pihak keluarga.

Andaur berusia 56 tahun. Sebelum ini, pada Mac lalu, pesawat Southwest Airlines terpaksa kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid di Las Vegas, apabila salah seorang juruterbang jatuh sakit sejurus selepas pesawat itu berlepas ke Columbus, Ohio.

Ketika itu, seorang juruterbang yang tidak bertugas dari syarikat penerbangan lain dan menaiki pesawat berkenaan sebagai penumpang, segera bertindak dengan membantu melakukan komunikasi radio semasa ia kembali ke bandar Nevada.

Di Amerika Syarikat (AS), juruterbang penerbangan memerlukan sijil perubatan yang mesti diperbaharui setiap tahun untuk individu di bawah umur 40 tahun, dan setiap enam bulan untuk mereka yang berumur lebih 40 tahun.

Baca : Geram anak buat bising dekat kedai makan, bapa selamba ‘tambat’ anak dekat tiang sebelum menjamu selera

Leave a Comment