7 Tips Untuk Hilangkan Rasa Mengantuk Di Tempat Kerja. Nombor 7 Tu Memang ‘Favorite’ Kaum Hawa.
Tidak kira anda bekerja di pejabat korporat, bahagian perkhidmatan pelanggan atau berniaga, rasa mengantuk pada waktu siang mungkin tidak dapat dielakkan.
Bagi memastikan badan anda sentiasa bertenaga, disini ada beberapa tips untuk hilangkan rasa mengantuk di tempat kerja.
1. Tidur sebentar atau nap
Sekiranya anda terlalu mengantuk pada hari tersebut, ikuti cara hilangkan mengantuk ini.
Ambil sedikit waktu pada waktu rehat anda dan tidur sebentar sekitar 15 hingga 30 minit.
Carilah mana-mana ruang dalam pejabat anda seperti bilik mesyuarat atau di meja anda sendiri, dan tidur sebentar.
Percayalah, badan anda akan lebih segar selepas bangun dan rasa mengantuk akan berkurangan.
Jangan tidur terlalu lama pula sehingga ke petang kerana bos pasti akan menganggap anda seorang yang culas atau kuat tidur.

2. Dengar lagu sewaktu bekerja
Suasana tempat kerja yang terlalu sunyi sememangnya mendorong sesetengah daripada kita untuk rasa lebih mengantuk.
Cuba mainkan lagu atau muzik dengan menggunakan telefon atau komputer anda.
Sekiranya anda ingin memasang lagu secara terbuka, minta izin rakan sepejabat terlebih dahulu.
Jika tidak, gunakan fon telinga untuk mendengar lagu kegemaran anda semasa menyiapkan kerja.

3. Basuh muka dengan air sejuk
Ambil sedikit masa dan pergi tandas untuk mencuci muka anda.
Sebaiknya, gunakan air sejuk dan sapukan pada muka dan leher anda bagi memberikan kesegaran pada badan.
Setelah itu, ambil masa sebentar untuk keluar pejabat bagi menghirup udara segar dan membetulkan posisi badan.
Anda juga boleh mencuba minum air sejuk bagi menyegarkan badan dan menghilangkan rasa mengantuk.
4. Ambil minuman berkafein
Ini merupakan antara kaedah menghilangkan mengantuk yang paling ramai orang buat.
Minuman berkafein mengandungi bahan perangsang yang meningkatkan aktiviti otak dan sistem saraf anda.
Selain itu, minuman berkafein turut meningkatkan kemampuan berfikir sekali gus melawan rasa mengantuk.
Selain kopi, teh dan juga coklat turut mempunyai kandungan kafein yang boleh membantu anda di tempat kerja.
Namun, jangan sesekali mengambil terlalu banyak kafein dalam sehari.

5. Bangun sebentar daripada tempat kerja
Jika anda duduk terlalu lama sehingga berjam-jam, berehat sebentar dengan cara bangun daripada tempat duduk dan berjalan-jalan.
Anda perlu melakukan tabiat ini berkali-kali setiap hari bagi membantu melancarkan aliran darah.
Dengan itu, anda boleh mengelakkan rasa mengantuk di tempat kerja.

6. Ambil makanan yang ringan pada waktu tengah hari
Pengambilan jenis makanan yang berat ketika makan tengah hari boleh membuatkan rasa mengantuk menjadi lebih teruk.
Oleh sebab itu, elakkan makanan yang bergula, minuman bergas, dan tinggi karbohidrat ketika makan tengah hari.
Anda boleh cuba makanan yang agak ringan seperti telur rebus, sandwic, potongan daging ayam dan sayur-sayuran.
Jika anda kerap mengambil nasi campur, nasi lemak atau makanan berkuah, boleh cuba kepada menu yang lebih ringan dan ringkas selepas ini.
7. Berborak dengan rakan anda
Sentiasa berkomunikasi juga merupakan salah satu cara hilangkan mengantuk yang berkesan.
Anda boleh berborak dengan rakan anda mengenai apa-apa topik yang tidak berkaitan dengan pekerjaan anda.
Berborak bersama rakan boleh membuatkan otak anda sentiasa terjaga dan cergas sekali gus melenyapkan rasa mengantuk.

Kini anda telah tahu 7 cara hilangkan mengantuk ketika berada di tempat kerja.
Buatlah salah satu daripada tip-tip yang kami kongsikan di atas ini setiap kali anda berasa mengantuk.
Kemudian, pilihlah cara hilangkan rasa mengantuk yang paling sesuai dan berkesan kepada anda untuk diamalkan setiap hari.
Selamat mencuba!
Pelancong Indonesia Cari Ayam Dua Seringgit Di Malaysia Raih Perhatian Netizen