Adik Terharu Abang Banyak Berkorban Dan Hidup Susah Sampai Dia ‘Grad’
Seorang wanita di Thailand menitiskan air mata gembira sehingga sanggup melulut dan tunduk di depan kaki abangnya gara-gara pengorbanan besar yang dilakukan olehnya, memetik laporan Mothership.
Detik menyentuh hati antara dua beradik itu berlaku ketika wanita tersebut baru sahaja bergraduasi setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Rajabhat di wilayah selatan Thai, Nakhon Sri Thammarat.
Difahamkan dia sepatutnya sudah menamatkan pengajian pada tahun 2018 lalu, namun majlis konvokesyennya ditangguhkan akibat wabak Covid-19 dan baru sahaja dijalankan baru-baru ini.
Dalam masa sama, dia dikatakan hanya tinggal bersama abang serta ibunya yang bekerja ‘biasa-biasa’ sahaja dan bergaji rendah, menunjukkan mereka sekeluarga bukanlah orang berada.
Namun apa yang menyentuh hati, disebabkan masalah kewangan dihadapi sekeluarga, abangnya tekad berkorban dengan berhenti sekolah dan mencari rezeki demi memberi laluan kepadanya untuk menamatkan pengajian dengan sempurna.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari pengorbanan tersebut sehinggalah ketika saat dia bergraduasi dengan kelayakan pendidikan tinggi, sebaliknya abangnya ‘tiada apa-apa’.
“Terima kasih kepada lelaki yang mengorbankan segala-galanya untuk adik”
Dalam perkongsian milik @chnitakotchasit di aplikasi TikTok, dapat dilihat wanita itu terlebih dahulu menyarungkan jubah graduasi pada tubuh abangnya. Kemudian, dia berlutut dan menundukkan kepalanya.
Difahamkan bagi masyarakat Thailand, pergerakan tersebut dianggap sebagai tanda penghormatan, penyesalan dan terima kasih yang mendalam kepada seseorang itu.
Dalam beberapa kes lain, pergerakan itu juga dianggap untuk meminta pengampunan atas kesalahan yang dilakukan.
Berbalik kepada video, abangnya pula menyentuh ubun-ubun kepalanya untuk menyatakan rasa sayang dan bangganya terhadap kejayaan dikecapinya.
Video pilu tersebut telah dikongsikan di platform TikTok dan telah mendapat tontonan sebanyak 10.3 juta kali, 1,100 tanda suka dan 19,200 ribu komentar yang ditinggalkan (setakat artikel ditulis).
Baca: Dah Nak Kahwin Awal Tahun Depan, Individu Baru Tau Perangai Sebenar Tunang, Menyesal!