Agong berkenan membaca semua surat yang diterima ketika Kembara Kenali Borneo, akan serah semua petisyen kepada PM.
Menerusi hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara, YDPA berkenan membaca kesemua surat dan petisyen yang diterima daripada rakyat Sabah dan Sarawak sewaktu siri jelajah tersebut.
Umum mengetahui Siri Jelajah Kembara Kenali Borneo yang berlangsung sejak 3 September yang lalu telah melabuhkan tirai pada Rabu (13 September).
Program yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan satu inisiatif bertujuan untuk mengenali rakyat Sabah dan Sarawak dengan lebih dekat.

Sepanjang 11 hari pelaksanaan, pelbagai surat dan aduan yang diterima daripada warga Borneo berhubung isu dan masalah yang dialami oleh mereka.
Agong Berkenan Baca Surat & Petisyen Warga Borneo, Akan Serah Kepada PM
Menerusi hantaran terbaharu yang dibuat menerusi akaun Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berkenan membaca kesemua surat dan petisyen yang diterima daripada rakyat Sabah dan Sarawak sewaktu siri jelajah tersebut.
Malah, baginda dikatakan akan menyerahkan setiap surat dan petisyen yang diterima kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan selanjutnya.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak yang telah sudi berkongsi kisah suka dan duka serta pelbagai masalah menerusi surat dan petisyen tersebut,” menurut kenyataan di Facebook itu.

Menerusi hantaran tersebut juga, terdapat beberapa gambar yang mengandungi pelbagai surat, petisyen malah lukisan yang diberikan khas buat Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Terima Pelbagai Respon Dari Warganet
Kenyataan itu nyata mengundang pelbagai respon terutama daripada rakyat Sabah dan Sarawak. Kebanyakan daripada mereka mengucapkan terima kasih atas keprihatinan baginda terhadap warga Borneo.
Malah, ada juga yang menzahirkan ucapan terima kasih atas perkenan Baginda dan Raja Permaisuri Agong untuk melawat mereka di sana dan mengharapkan agar program sebegini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.