Anak pemilik restoran dedah Tiktoker ambil kesempatan, minta bayar RM1,500 untuk ‘review’ makanan
Baru-baru ini, seorang anak kepada pemilik restoran menzahirkan rasa kesal terhadap sikap murahan segelintir TikTok famous yang cuba ambil kesempatan terhadap ayahnya.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Alin, TikToker tersebut menawarkan dirinya kepada bapa Alin untuk membuat review makanan di kedai ayahnya, dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang TikTok famous yang mempunyai 100K pengikut.
Dalam satu video yang telah meraih 712K jumlah tontonan dalam masa 18 jam itu, Alin menjelaskan bahawa dia sendiri yang menawarkan untuk membuat review tersebut dengan rela hati, sebagai pemilik restoran, pastinya ayah dia membenarkannya untuk melakukan perkara sedemikian.
“Dia kata tapi pakcik kena bayar RM 1800, ayah saya tanya kenapa perlu bayar? Dia kata untuk dia viralkan, lepastu dia kata jangan risau, saya boleh kurangkan bagi RM1500 untuk saya viralkan di TikTok. Ayah saya memang dah tua tau, korang jangan lah menipu orang tua macam ni.”
Alin menjelaskan ayahnya sudah lebih 20 tahun berniaga dan sepanjang tempoh itu memang ada orang akan menawarkan diri untuk membuat review, tetapi mereka tidak menuntut sebarang bayaran.
Dalam pada itu, wanita ini turut mempersoalkan TikTokers tersebut, katanya seandainya dia benar-benar popular biasanya, pihak restoran yang akan cari dirinya.
Dalam video selanjutnya, Alin menunjukkan bukti bahawa ada platform yang lebih popular pernah datang ke kedai makan ayahnya sambil memberikan pujian serta menunjukkan restoran itu tanpa meminta sebarang bayaran.
Antaranya adalah akaun YouTube Food Ranger yang mempunyai lebih 2 juta langganan, artis seperti Altimet kongsikan pengalamannya menikmati makanan di sana serta Syafie Naswip yang menjadi hos untuk sebuah rancangan dan disiarkan di saluran TV.
Bagaimanapun, Alin enggan mendedahkan nama TikTokers tersebut, namun dia ada tayang satu video cara bagaimana ‘modus operandi’ itu dilakukan di restoran lain dan ada yang sudah terkena dengan ‘umpan’ dia, namun individu dalam video tersebut bukanlah orang sama di kedai ayahnya itu.
Memandangkan pendedahan ini mendapat perhatian netizen, ramai yang menggesa Alin untuk mendedahkan identiti pelaku tersebut, bagaimanapun Alin berkeras untuk tidak menunjukkannya.
Jelas Alin, tujuan utamanya adalah membangkitkan kesedaran kepada peniaga agar tidak terkena dengan helah golongan seperti ini.
Bahkan, Alin juga menyangkal dakwaan yang mengatakan ia adalah tujuan pemasaran kedai makan tersebut. Ikuti penjelasannya disini….
Dalam dunia ni, tak ada jalan mudah untuk dapatkan duit selain daripada usaha, tapi bergantung juga pada cara usaha tersebut, kalau tersilap langkah benda yang dijadikan darah daging akan jadi haram. Moga para peniaga dapat peka dengan kes-kes sebegini.