TerasMalaysia

Anak perempuan kepada pasangan ini masih lagi belum dapat warganegara, risau masa depan anak terbantut

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

Anak perempuan kepada pasangan ini masih lagi belum dapat warganegara, risau masa depan anak terbantut

Sebelum mendirikan rumah tangga lagi, Wong dan isterinya sudah mengetahui mereka mungkin tidak akan dikurniakan cahaya mata.

Isterinya disahkan menghidap kegagalan ovari pramatang atau kekurangan ovari utama ketika berumur 18 tahun.

Oleh itu, setahun selepas berkahwin, pasangan tersebut memutuskan untuk mengambil anak angkat.

Pada 2019, mereka membawa pulang seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari “baby hatch” atau pusat pelindung bayi yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar.

Kanak-kanak malang itu ditinggalkan oleh ibu kandungnya, yang hanya mahu dikenali sebagai “Shirley”.

Disebabkan butiran ibu bapa kandungnya tidak lengkap, maka bayi perempuan itu tidak diberikan taraf kewarganegaraan.

Malah, ketika proses daftar sijil kelahiran, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mengeluarkan dokumen yang mengisytiharkan bayi tersebut sebagai seorang bukan warganegara.

Pada 2020, Wong dan isterinya memohon kewarganegaraan untuk anak angkatnya itu mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Kami melalui semua proses perundangan. Kami sudah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan dan turun naik mahkamah,” kata Wong.

“Tetapi Kementerian Dalam Negeri memaklumkan kepada kami bahawa mereka sedang memproses permohonan dari tahun 2016 hingga 2019. Memandangkan kami memfailkan permohonan pada 2020, maka kami terpaksa menunggu.”

Bagaimanapun, selepas tiga tahun menunggu, pasangan suami isteri itu masih belum mendapat khabar berita berhubung keputusan permohonan taraf kewarganegaraan anak angkat mereka.

Biarpun Wong tiada masalah untuk menunggu, namun dia cuma tertanya-tanya berapa lama tempoh yang diperlukan untuk mengetahui keputusan permohonan itu.

Dalam pada itu, dia ada juga terdengar cerita mengenai kepayahan hidup yang dihadapi oleh kanak-kanak tanpa warganegara ini.

Keluarganya bernasib baik kerana mereka tidak melalui pengalaman yang sama, sekurang-kurangnya belum lagi.

Tetapi buat masa ini, mereka telah merasai betapa sukarnya kehidupan yang dialami oleh seorang kanak-kanak tanpa kerakyatan ini.

“Saya mahu membuka akaun bank untuk dana pendidikannya, tetapi tidak boleh kerana dia tidak mempunyai kewarganegaraan,” kata Wong.

“Saya perlu membayar caj seperti warga asing ketika mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.”

Malah, perkara paling remeh adalah ketika melawat zoo, di mana mereka sering diingatkan tentang jurang rasmi antara pasangan terbabit dan anak angkat mereka.

“Di sana juga, saya perlu bayar kadar tiket warga asing untuknya,” kata Wong.

Pada 2021, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di Kuala Lumpur dan diambil sebagai anak angkat oleh pasangan tempatan dianggap sebagai rakyat Malaysia.

Keputusan itu sepatutnya menjadi rujukan kepada kerajaan dalam memberikan kerakyatan kepada kanak-kanak terbiar yang mana butiran ibu bapa kandung mereka tidak dapat ditentukan.

Bagaimanapun, Wong dan isterinya terus menunggu.

Ketika ini, pasangan tersebut menghantar anak perempuannya di prasekolah swasta.

Namun, ia akan mendatangkan cabaran besar buat keluarga ini apabila hendak mendaftarkan anak angkat mereka itu di sekolah kebangsaan tahun depan.

“Oleh kerana anak perempuan saya tidak mempunyai MyKid, kami tidak diberi akses untuk mendaftarkannya melalui portal dalam talian kerajaan,” kata Wong.

“Kami menemui pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri tahun lepas ketika dia berumur lima tahun, dan mereka meminta kami datang semula pada hujung tahun ini untuk mengetahui sama ada masih terdapat kekosongan untuknya di sekolah yang kami mahukan itu.”

Pasangan suami isteri itu juga diberitahu anak angkat mereka perlu memulakan persekolahan dua minggu lewat berbanding kanak-kanak lain, kerana tempatnya bergantung pada kekosongan.

“Bagi kami, ini adalah satu diskriminasi,” tambah Wong.

Pada usia lima tahun, kanak-kanak perempuan itu sudah memasang impian besar untuk menjadi seorang penari balet atau juruterbang apabila dewasa kelak.

Namun tanpa kerakyatan, masa depannya hanya tinggal angan-angan.

Wong dan isterinya mahu anak perempuannya itu menjadi seorang warganegara yang baik dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Tanggungjawab kami sebagai ibu bapa ialah menyediakan persekitaran yang sentiasa menyayangi dan menyokongnya,” katanya.

“Untuk itu, kami juga memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan.”

Baca : Hanya kerana tunjuk video berpuasa masa bulan ramadan, Influencer ini dituduh raih like dan view sahaja

Leave a Comment