Arab saudi akan bina kiub gergasi seakan Kaabah, luar petak emas, dalam petak macam-macam ada
Arab Saudi akan membina kiub setinggi 1,300 kaki atau kira-kira 396 meter (m) di ibu kotanya yang akan menjadi salah satu struktur binaan terbesar di dunia.
Mercu tanda dikenali sebagai Mukaab itu akan menjadi sebahagian daripada projek pusat bandar moden terbesar di dunia iaitu Murabba Baharu.
Struktur itu adalah sebahagian daripada pembangunan Murabba Baharu. Kiub itu digambarkan sebagai destinasi imersif pertama di dunia, menawarkan pengalaman yang dicipta oleh teknologi digital dengan holografik terkini.
Terdapat sebuah menara di atas pangkalan lingkaran dan ia akan menyediakan ruang lantai seluas dua juta meter persegi. Ia akan menjadi destinasi perhotelan premium dengan tarikan runcit, kebudayaan dan pelancongan, bersama-sama dengan unit kediaman dan hotel, ruang komersial dan kemudahan rekreasi.
Perdana Menteri dan Pengerusi Syarikat Pembangunan Murabba Baharu (NMDC) Putera Mahkota Mohammad Salman Abdulaziz mengumumkan skim untuk pembangunan masa depan bandar itu selaras dengan Wawasan Saudi 2030.
Wawasan itu adalah rangka kerja strategik untuk mengurangkan pergantungan negara kepada minyak, mempelbagaikan ekonominya, dan membangunkan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.
Pemaju berkata, kawasan itu akan mempunyai pelbagai fungsi untuk kerja dan hiburan serta uniknya ia terletak dalam radius 15 minit dengan berjalan kaki. Selain itu, ia akan memiliki sistem pengangkutan dalamannya sendiri, dan lokasinya hanya memakan masa 20 minit dari lapangan terbang.
Skim ini akan menawarkan ruang lantai seluas lebih 25 juta meter (m) persegi dengan lebih 104,000 unit kediaman, 9,000 bilik hotel dan ruang runcit seluas lebih 980,000 m persegi.
Terdapat juga, ruang pejabat (1.4 juta m persegi), aset masa lapang (620,000 m persegi) dan ruang khusus untuk kemudahan komuniti (1.8 juta m persegi).
Sebelum ini, Arab Saudi mengumumkan projek mega iaitu rancangan untuk membina dua bangunan bercermin selari yang tingginya hampir 500 m dan 170 kilometer panjang.
Pencakar langit bernilai AS$1 trilion (RM4.4 trilion) dikenali sebagai Mirror Line akan merentangi padang pasir dan lebih tinggi daripada Bangunan Empire State.
The Wall Street Journal mendedahkan dokumen perancangan sulit yang membentangkan butiran bahawa Mirror Line akan menjadi bangunan tertinggi di dunia jika ia berjaya dibina.
Baca : Rezeki masing-masing jumpa pocong, ada sempat rakam ‘benda’ tu siap buat bunyi dekat balik pokok