TerasMalaysia

Asal usul songkok yang ramai tak tahu, nama sebenarnya pun diambil dan diolah jadi singkat

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

Asal usul songkok yang ramai tak tahu, nama sebenarnya pun diambil dan diolah jadi singkat

Songkok merupakan sejenis topi tradisional bagi orang Melayu yang dihasilkan daripada kain kapas, flanel atau baldu. Ia boleh dipakai sebagai pelengkap kepada baju Melayu mahupun pakaian sut Barat yang dipakai untuk menghadiri majlis-majlis tertentu.

Pemakaian songkok ini sangat popular bagi masyarakat Melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia mahupun di selatan Thailand. Songkok telah menjadi pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri acara-acara rasmi seperti majlis perkahwinan, upacara keagamaan dan sambutan keraian seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Tetapi, pernahkah anda terfikir apakah sejarah atau asal usul songkok ini?

Sejarah songkok

Songkok dikatakan berasal dari tarbus yang dipakai di Turki pada zaman kerajaan Uthmaniyah, namun lama kelamaan menjadi simbol identiti Islam dan menjadi popular dalam kalangan pedagang India Muslim.

Pengenalan ini dikatakan pakar merupakan duluan kepada pewujudan songkok di Alam Melayu.

Asal usul perkataan songkok

Nama ‘songkok’ dipercayai dipinjam daripada nama pakaian adat kaum Bugis dari suku Bone, iaitu Songko’ Recca. Namun Songko’ Recca kebiasaannya diperbuat dari gentian sabut atau pohon palma yang dirajut serta dijalin.

Manakala nama songkok yang kita kenal pada hari ini memang sudah terbuat daripada fabrik yang pada awalnya dilipat, dan dikeraskan sebelum dijahit. Ia dikenali sebagai ‘Getam Bulan atau Songkok Daeng yang berbentuk bulat dan rata di bahagian atasnya.

Contoh Getam Bulan Atau Songkok Daeng

Penggunaan songkok di Malaysia

Tahukah anda, di Malaysia, penggunaan songkok telah dimasukkan dalam kelengkapan askar-askar Rejimen Askar Melayu DiRaja dalam Tentera Darat Malaysia sejak penubuhan ia pada zaman British.

Malah, ia turut dilazimkan dalam Polis Diraja negara ini pada upacara-upacara tertentu. Dewan peringkat Undangan Negeri dan peringkat Parlimen Malaysia mewajibkan pemakaian songkok sebagai sebahagian daripada peraturan penampilan semasa bersidang, pengabaian peraturan ini boleh dikenakan hukuman sesuai.

Pada 19 Jun 2008 misalnya Gwee Tong Hiang dari Bentayan dihalau dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor kerana tidak mematuhi kod pakaian rasmi yang turut berangkumi bersongkok.

Songkok Dan Kaitan Dengan Tentera Turki Uthmaniyyah

Terdapat satu kisah menarik dimana seorang lelaki yang berasal dari Malaysia menceritakan pengalamannya semasa bersongkok Melayu di kota Kaherah, Mesir pada tahun 1991.

Beliau telah ditegur oleh seorang lelaki tua tempatan yang bertongkat ketika mereka sama-sama menunggu bas.

Lelaki tua tersebut menanyakan berkenaan songkok Melayu yang dipakainya sambil kelihatan terharu ketika membelek-belek songkok tersebut.

Lelaki tua tersebut kemudiannya memberitahu kepada beliau bahawa songkok tersebut mirip songkok tentera berkuda Sultan Muhammad Fatih yang membuka kota Konstantinople.

Beliau menerangkan kepada lelaki tua tersebut bahawa songkok Melayu itu banyak dipakai di Nusantara sejak turun temurun.

Kemudian lelaki tua tersebut menceritakan bahawa tentera berkuda Uthmaniyyah Turki pada abad ke-16 Masihi turut serta dalam peperangan dengan Majapahit membantu Wali Songo dalam pembukaan kota Demak.

Pakaiannya termasuk songkoknya diambil para sultan dan raja Nusantara dijadikan pakaian kebangsaan rasmi sebagai tanda penghargaan orang Melayu kepada tentera Uthmaniyyah.

Oleh yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pemakaian songkok di kalangan lelaki Nusantara merupakan sunnah dan juga tradisi yang diwarisi turun temurun.

Adalah diharapkan, sunnah dan tradisi ini akan berkekalan dan berpanjangan oleh orang Melayu di Nusantara.

Baca : “Tikar sejadah menjadi teman sujud”- Najib Razak coret puisi disebalik tirai besi

Leave a Comment