Bapa luah rasa kecewa, anak umur 16 tahun kantoi keluar malam diam-diam sampai terlanjur dengan suami orang. BENARLAH kata pepatah, ‘menjaga anak perempuan lebih susah daripada menjaga sekandang lembu.’
Tambahan pula dengan zaman media sosial di mana segala perkara boleh diakses menerusi hujung jari, tugas mendidik anak-anak menjadi cabaran yang besar buat ibu bapa.
Pendek kata, setegas mana pun didikan yang diberikan, namun ia bukan jaminan anak-anak tidak akan terjebak dengan perkara negatif, mengambil kira kehadiran faktor-faktor luaran yang berada di luar kawalan ibu bapa.
Begitulah kisah yang diluahkan oleh seorang bapa mengenai anak gadisnya yang menjadi liar sehingga akhirnya maruah diri tergadai.
Lebih menyedihkan, anak gadisnya yang berusia 16 tahun itu terlanjur dengan seorang lelaki berstatus suami orang.
“Dah tegur… telefon tak pernah kasi, duduk depan mata (tinggal bersama). Isteri suri rumah… bab didikan, aku dan isteri tegas tapi masih beri perhatian dan kasih sayang.
“Habiskan masa dengan keluarga setiap minggu, makan malam semeja itu wajib.
“Tapi Allah uji, anak pandai keluar malam tanpa sedar, sampai dah buat seks dengan laki orang. Aku sampai tak tidur malam berjaga, tapi still budak sekarang licik.
“Ikutkan hati nak tibai, tapi sabar,” luahnya.
Ujar lelaki yang tidak mendedahkan identiti diri itu, dia benar-benar buntu sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk ‘menyelamatkan’ anak gadisnya daripada terus hanyut.
“Aku tahu Allah sayang aku, cuma apa pendapat kau? Bagi anak kahwin umur 16 tahun ke atau kena akur anak buat maksiat belakang kau?
“Kahwin awal atau macam mana? Wali buntu. Aku dah nasihat…. lembut, kasar semua dah. Dah terang bab agama sejak kecil, dah ajar bab sains daripada kecil, semua tak pakai,” kongsinya lagi.
Luahan tersebut dihantar menerusi Direct Message (DM) kepada akaun @ibjela dan kemudian dikongsikan di Twitter untuk meminta nasihat warga maya.
Sehingga kini, perkongsian luahan itu meraih lebih daripada 1,200 ulang kicau.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati dan terkesan dengan kisah yang sedang dialami lelaki berkenaan.
Dalam pada itu, ramai yang memberi pelbagai cadangan agar masalah melibatkan anak gadisnya ditangani dengan langkah yang sewajarnya.