Berang kereta dipotong arah bertentangan, lelaki mengamuk maki dan tunjal kepala wanita
Baru-baru ini, tular satu video di Facebook memperlihatkan seorang lelaki bertindak samseng apabila memarahi seorang pemandu perempuan yang didakwanya memandu secara berbahaya.
Menerusi video yang tular, kelihatan lelaki berbadan gempal dan berbaju merah itu keluar dari keretanya dan segera mengetuk cermin kenderaan pemandu tersebut dengan wajah bengis.
Sebaik cermin kereta diturunkan, lelaki berkenaan menghambur kata-kata kesat dengan lagak tak ubah seperti samseng jalanan.
“Bawa elok-elok sikit… kau main nyawa orang, b**i. Kalau aku sepak (tampar) kau, dengan orang sebelah kau pun aku sepak,” katanya, garang.
Biarpun cuba dijelaskan secara baik oleh pemandu wanita berkenaan bahawa dia tidak bersalah keraba memotong di garisan putus-putus, lelaki tersebut tetap berkeras dan menyalahkannya.
“Kau jangan nak menjawab dengan aku. Kau main nyawa orang. Kau nak kenal aku siapa tak? Lagi kau nak tinggi suara. Line putus-putus b***k kau. Tak nampak ke depan corner (selekoh)? Pecah muka kau kejap lagi,” demikian kata-kata yang dihamburkannya.
Tidak sekadar menghamburkan kemarahan dengan disusuli perkataan kesat, lelaki itu juga dilihat menunjal kepala pemandu tersebut sebanyak dua kali sebelum berlalu.
Video itu dipercayai dirakam oleh penumpang yang duduk di sebelah pemandu wanita tersebut, sebelum dimuat naik di Facebook.
Menerusi hantaran yang dikongsikan pemandu wanita berkenaan di laman sosial, kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Tapah-Cameron Highlands.
Disebabkan itu, pengguna Facebook tersebut telah meminta bantuan orang ramai untuk mencari siapakan lelaki terbabit kerana ingin ‘berkenalan’ dengannya.
“Mohon sesiapa yang mengenali insan ini, minta PM saya. Sebab saya teringin nak kenal dengan dia,” tulisnya.

Video yang berdurasi 59 saat itu telah mendapat perhatian ramai dan rata-rata warganet turut berang dengan tindakan kasar yang dilakukan lelaki terbabit.
Mereka juga beranggapan bahawa dia mungkin hanya berani dengan pemandu wanita sahaja sehingga tergamak melakukan kekerasan kepada orang lain.