Berang tuala wanita dibuang tempat yang salah, pihak kilang paksa pekerja bogel untuk diperiksa. Tiga orang ditahan selepas beberapa pekerja sebuah kilang keju di Kenya dipaksa menanggalkan pakaian oleh pengurus mereka untuk memeriksa wanita yang datang bulan, lapor Badan Penyiaran Britain.
Seorang pengurus Syarikat Brown’s Food telah mengumpulkan beberapa pekerja wanita untuk mengenal pasti siapa yang membuang tuala wanita terpakai ke dalam tong sampah yang salah.
Pengurus itu menyuruh pekerja-pekerja berbogel selepas tiada siapa yang mengaku salah.
Pengurusan syarikat itu berkata, pihaknya menggantung kerja pengurus wanita tersebut sementara siasatan dilakukan.
Polis di bandar Limuru berkata, tiga orang menghadapi pertuduhan melakukan ‘serangan tidak senonoh’ berhubung kejadian itu.
Dalam video yang disiarkan di laman Facebook, Senator Gloria Orwoba berkata, beliau menerima ‘panggilan kecemasan’ mengenai kes itu yang berlaku malam Isnin lalu.
“Seorang pengurus menemui tuala wanita terpakai di salah satu tong sampah dan tong itu tidak disediakan untuk pelupusan tuala wanita,” katanya.
Polis telah menjalankan siasatan menyeluruh dan merekodkan kenyataan daripada mangsa sebelum menahan tiga suspek.
Menurut polis, kejadian serupa turut berlaku di beberapa syarikat lain di kawasan itu.