Binaan paling ikonik dan paling bersejarah dalam sejarah dikhianati, dua pekerja kantoi robohkan Tembok Besar Cina guna jengkaut
Tembok Besar China (juga dikenali sebagai ‘Wanli Changcheng’ atau ‘Tembok 10 000 Li’) merupakan salah sebuah struktur yang paling ikonik dalam tamadun China. Selain bergelar tembok yang paling panjang di dunia, ia juga meraih kedudukan sebagai salah sebuah projek pembinaan yang paling besar pernah dijalankan.
Pun begitu, sebahagian daripada binaan sepanjang 21,200 yang dipercayai dibina oleh Dinasti Ming antara abad ke-14 hingga abad ke-17 tersebut telah ‘dimusnahkan’ oleh 2 orang pekerja pembinaan menggunakan jengkaut di Pusat Wilayah Shanxi.
Pihak polis mengesyaki dua orang pekerja berkenaan cuba untuk membuat jalan pintas untuk kerja-kerja pembinaan mereka sebelum kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut.
Seorang pekerja lelaki berusia 38 tahun dan seorang pekerja wanita didapati telah mengorek ‘lubang’ dengan membesarkan rekahan yang ada di Tembok Besar China itu bagi membolehkan jengkaut milik mereka melepasi binaan tersebut untuk mengurangkan jarak perjalanan yang harus ditempuhi.
Sementara sebahagian lain daripada Tembok Besar China ini terjaga dan cantik, ada juga bahagian-bahagian yang mulai rosak, pecah dan menurut laporan pada tahun 2016, 30 peratus daripada binaan tersebut telah hilang. Hanya sebahagian kecil sahaja dijaga dengan rapi.
Tembok Besar ini dibina merentangi sebahagian yang luas di utara China dan ia berada dalam keadaan rosak yang berbeza-beza dan bahagian tertua tembok ini, sejak beribu-ribu tahun dahulu, telah ‘dirempuh’ dinding tanah dan kini kelihatan sebagai busut, bahkan tidak langsung dikenali sebagai Tembok Besar.
Pun begitu, tidak kurang juga kerosakan yang berlaku pada binaan ini disebabkan oleh tindakan tak bertanggungjawab sebahagian petani tempatan yang mencuri batu-bata di tembok ini untuk membina bangsal haiwan ternakan mereka atau rumah mereka sendiri.