Buat Laporan Premis Dipecah Masuk, Pemilik Kedai Itu Sendiri Ditangkap Sebagai Suspek
Semata-mata ingin membuat tuntutan insurans, seorang pemilik kedai aksesori kereta berani membuat laporan palsu kononnya kedai telah dipecah masuk dengan mendakwa premisnya di Dataran Mentari, Petaling Jaya dipecah masuk sehingga menyebabkan kerugian RM600,000.
Menurut laporan Awani, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 39 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian terbabit pada 1.09 tengah hari Jumaat lepas (20 Januari).

Mohamad Fakhrudin berkata, bagaimanapun hasil siasatan mendapati tiada kejadian pecah masuk premis seperti yang dilaporkan dan lelaki terbabit mengaku membuat laporan untuk mendapatkan tuntutan insurans.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu terhadap lelaki itu dan dia akan dipanggil ke mahkamah untuk pertuduhan dalam masa terdekat.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad lalu (29 Januari).
Pada masa sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sesuka hati demi kepentingan diri sendiri sehingga mengelirukan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
Baca : Itulah Kali Terakhir Saya Jumpa Mak, Lepas Daripada Kejadian Tu, Saya Dah Tak Jumpa Dia