Budak 2 tahun alami kecederaan pipi, dahi dan tangan, didera pengasuh wanita dekat taska
Seorang wanita tidak menyangka kes dera di pusat jagaan kanak-kanak akan berlaku kepada anaknya.
Menerusi perkongsian, Rin Azmin mengaku sedih kerana merasakan dirinya ditipu oleh pusat jagaan berkenaan selepas mendapati kesan kecederaan pada anaknya bukan disebabkan terjatuh seperti yang didakwa.
“Kejadian kes dera kena kat anak aku sendiri. Aku terduduk rasa nak pitam apabila dapat tahu… beraninya pusat jagaan tipu depan muka kami.
“Aku bayar RM1,300 sebulan untuk keselesaan dan keselamatan anak aku, bukan untuk kau hempuk-hempuk anak aku,” luahnya.
Lebih menyedihkan apabila kejadian itu hanya dilihat oleh kakitangan yang lain tanpa seorang pun tampil untuk membantu mahupun menghalang rakan sekerja mereka.
“Orang lain, staf yang tengok tu apa perasaan anda? Tak ada hati perut, sanggup biar anak aku kena macam tu depan mata.
“Tujuan aku menulis kat sini adalah untuk membuka mata semua pihak termasuk taska, parents yang hantar anak ke situ,” luahnya lagi.
Menerusi rakaman video yang tular itu, dapat dilihat beberapa lagi orang dewasa berada berhampiran pengasuh terbabit dan anaknya tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Malah mereka hanya melihat tindakan kasar pengasuh terbabit tanpa seorang pun menghalang atau menghentikan tindakannya.
Dakwa wanita itu lagi, pada 3 Ogos lalu anaknya, Rania pernah mengadu takut dan menangis kerana tidak mahu ke sekolah.
Disebabkan itu, dia memohon untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska bagi mengetahui punca anaknya takut.
Bagaimanapun permintaannya itu tidak mendapat keizinan pihak kakitangan terbabit sehinggalah dia terpaksa memohon daripada ibu pejabat.
“Saya telah memohon dari pihak taska untuk tengok CCTV kerana bimbang kenapa dia (Rania) takut ke sekolah sedangkan sudah lama berada di situ.
“Pihak taska cakap tak dapat bagi tengok. Saya hubungi HQ (ibu pejabat) taska sendiri untuk kebenaran tengok, malangnya saya diberi tengok secara rawak.
“Saya juga kecewa kerana mereka tidak melakukan siasatan secara menyeluruh selepas saya membuat laporan anak takut ke sekolah,” jelasnya lagi.