Bukan nombor plat asal kereta, JPJ gesa pemilik tampil buat laporan berkenaan isu yang tular. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menggesa pemilik kereta mewah McLaren tampil membuat laporan selepas tular gambar kenderaan tersebut minggu lalu.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut juga membabitkan suami kepada aktres popular selain mengesahkan bahawa nombor plat digunakan bukan nombor sebenar serta pemilik berdaftar pula orang berbeza.
“Adalah menjadi kesalahan untuk mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan berkenaan mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sebelum ini, lelaki tersebut menerima kecaman hebat netizen selepas didakwa melabelkan kereta bukan dalam kategori ‘supercar’ sebagai najis.
Sebelum itu, sebuah akaun bernama SCRUT di laman Facebook melakukan pembongkaran berhubung kenderaan yang menggunakan nombor plat ‘QPA1’ itu sehingga menyatakan nama pemilik berdaftar yang sebenar.
“Dapatan daripada sistem SCRUT, ianya bukan milik lelaki itu tetapi milik Revenue Scope Sdn. Bhd. yang tidak dimiliki pun oleh individu bernama A**** A**** (suami aktres).
“Maka sahlah lelaki tu hanya pinjam nombor plat orang atau drama saja untuk tunjuk kaya. Cuba kalian tanya dia. QPA1 tu memang nombor dia ke? Kalau bukan, memang najislah! Kan?
“Uncle cuba trace kereta McLaren tersebut menggunakan SCRUT ANALytica sekali lagi. Uncle menemui yang kereta McLaren itu dimiliki oleh individu lain,” dakwa SCRUT menerusi satu hantaran.
Susulan itu, segelintir netizen mula mempersoalkan pemilik sebenar kenderaan mewah ditunjukkan oleh suami aktres berkenaan.