Cameron Highlands diiktiraf dan tersenarai sebagai lokasi tercantik di dunia.
Malaysia adalah sebuah negara yang diberkati dengan keindahan alam semulajadi serta flora dan fauna yang memukau. Oleh itu, tidak menghairankan jika lokasi seperti Cameron Highlands menjadi tumpuan utama penduduk tempatan dan turut menjadi destinasi pelancongan utama di dunia.
Baru-baru ini, CN Travel mengiktiraf Cameron Highlands sebagai salah satu destinasi tercantik di dunia. Senarai tersebut diterbitkan pada 31 Oktober lalu, dan mereka mengakui kesukaran dalam membuat pilihan kerana kepelbagaian diversiti yang ada di Malaysia.
“Namun begitu, (jika perlu membuat pilihan) Cameron Highlands mungkin pemenangnya,” ujar CN Travel.
Kawasan pelancongan ini terletak di negeri Pahang dengan keluasan kira-kira 275.4 kilometer persegi.
“Di kawasan tanah tinggi ini, anda akan menjumpai ladang teh terbesar di Malaysia dan landskap dengan bukit-bakau yang menenangkan,” kata CNN Travel.
Selain dari keindahan ladang teh dan cuaca sejuk, pengunjung juga dapat mengunjungi taman rama-rama dan ladang-ladang strawberi yang menjadi ikonik.
Dalam senarai tersebut, Cameron Highlands bukanlah satu-satunya wakil dari Asia. Destinasi seperti Palawan di Filipina dan Arashiyama Bamboo Grove di Jepun turut tersenarai.
CN Travel juga mengiktiraf beberapa destinasi pelancongan lain sebagai destinasi tercantik di dunia, merentasi pelbagai landskap alam, termasuk kawasan hutan hujan tropika terkemuka di dunia iaitu Hutan Hujan Amazon di Amerika Selatan.
Senarai tersebut turut termasuk Angels Fall di Venezuela, Antartika, Avenue of the Baobabs di Madagaskar, dan Cappadocia di Turki. Cameron Highlands, terletak pada ketinggian 1,500 meter di celah-celah kawasan pergunungan, menawarkan pelbagai tarikan menakjubkan seperti Mossy Forest, Taman Flora Cameron, Cactus Valley, The LakeHouse, dan banyak lagi.
Dengan pelbagai lokasi dan aktiviti menarik, pengunjung sentiasa dapat meneroka kawasan ini dan menyertai pelbagai aktiviti yang menarik apabila berada di sana. Oleh itu, tidak hairanlah Cameron Highlands sentiasa menjadi destinasi yang penuh dengan pengunjung tempatan dan antarabangsa.