Cikgu dengan makcik kantin sama lawa, terpaksa buat ‘ice breaking’ takut murid keliru
Ice breaking merupakan suatu sesi di mana sesi perkenalan seperti permainan mini untuk mengetahui nama dan latar belakang masing-masing.
Tular baru-baru ini mengenai sesi perkenalan ‘ice breaking’ yang diadakan bersama pelajar sekolah telah mencuri perhatian orang ramai.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @ckzlinazali di laman TikTok itu, kelihatan pekerja-pekerja kantin ataupun lebih mesra dikenali sebagai ‘mak cik kantin’ turut menyertai sesi ice breaking tersebut.
Apa yang membuatkan lebih ramai warga maya tertarik melihat video ini adalah apabila mereka memperkenalkan diri masing-masing dengan memegang plakad yang bertuliskan nama mereka.
“Minggu ini ice-breaking, makcik kantin pun murid kena kenal… takut bertukar dengan cikgu. Semua gojes-gojes (gorgeous),” demikian kapsyen yang mengiringi video berkenaan.
Guru bernama Nor Zilina Zali yang membuat rakaman dan memuat naik di aplikasi TikTok berkata, video tersebut dirakam pada Isnin lalu ketika majlis suai kenal warga sekolah di perhimpunan rasmi.
“Untuk minggu pertama sesi persekolahan baru, masih belum ada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan menurut pekeliling, setiap sekolah dikehendaki membuat aktiviti antaranya suai kenal warga sekolah.
“Jadi pada Isnin lalu, sekolah kami iaitu Sekolah Kebangsaan Dato’ Yahya Subban, Chenderong Balai, Perak membuat sesi suai kenal atau ice-breaking semua warga sekolah ketika perhimpunan rasmi.
“Semua warga sekolah bermula daripada guru besar, pentadbir, guru sehinggalah kepada pekerja kantin dan pekerja am perlu memperkenalkan diri… semua naik stage dan bawa plakad bertulis nama masing-masing untuk memperkenalkan diri kepada murid-murid,” ujarnya.
Menurut Nor Zilina, terdapat kumpulan guru yang ditugaskan untuk membuat plakad bagi setiap warga sekolah sempena acara ice-breaking tersebut.
“Apabila ada acara sebegini, kami akan bahagikan tugas sesama guru. Kami ada kumpulan guru yang bertugas dan dibahagikan secara mingguan.
“Plakad ini adalah hasil usaha guru yang bertugas untuk minggu suai kenal,” ujar guru berusia 44 tahun ini.
Tambahnya, pada hari tersebut, seramai 54 guru dan pekerja am sekolah naik ke atas pentas membawa plakad ibarat melakukan cat walk
“Saya sempat ambil video ketika pekerja kantin memperkenalkan diri atas stage. Selepas pulang sekolah pada sebelah petang, barulah saya upload.
“Tak sangka, esoknya video tersebut meraih jumlah tontonan yang tinggi sehingga mencecah ratusan ribu.
“Kalau nak tahu, pekerja kantin sekolah kami memang rapat dengan guru-guru. Mereka sporting untuk join apa jua aktiviti sekolah.
“Contohnya sewaktu Hari Kanak-kanak Sedunia, sekolah letak tema Mickey Mouse… mereka pun ikut sekali tema itu. Lagi pula, anak-anak mereka pun sekolah di sini, jadi memang hubungan kami akrab.
“Begitu juga dengan pekerja am yang lain… pendek kata kami warga sekolah ibarat satu keluarga,” ujarnya yang sudah berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 2018.
Tidak menyangka videonya meraih sehingga melebihi 740,000 jumlah tontonan, Nor Zilina berkata dia gembira dan bersyukur kerana perkongsiannya mendapat maklum balas yang sangat positif daripada warga maya.
“Syukur tak terhingga… gembira apabila ramai yang beri komen positif dan memuji sekolah kami. Mudahan sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada orang lain juga,” akhirinya.