Detik cemas berlaku kepada pelancong Malaysia di Thailand, hampir diculik guna ‘kereta sewa’
Melancong ke negara luar pasti membawa pelbagai pengalaman baru, seperti merasai kebudayaan, gaya hidup, dan banyak lagi. Walaupun begitu, terkadang terdapat beberapa perkara yang tidak menyenangkan berkaitan dengan melancong, terutamanya apabila bahasa menjadi halangan untuk berkomunikasi.
Bagi sesiapa yang pernah melancong ke negara di mana penduduknya kurang memahami bahasa, mereka pasti tahu betapa mencabarnya berkomunikasi, terutama dalam hal mendapatkan panduan arah dan terkadang boleh menjadi situasi berbahaya.
Baru-baru ini, sekumpulan pelancong dari Malaysia berkongsi pengalaman mencemaskan mereka semasa melancong ke Bangkok, Thailand, di platform Facebook. Menurut kongsi pengalaman Mei Qi, dia bersama rakan-rakannya terlibat dalam satu kejadian yang mengejutkan ketika di negara tersebut.
Mei Qi menceritakan bahawa mereka telah diberikan tawaran sewa kereta di bandar tersebut dengan hanya membayar 1,500 Thai Baht, kira-kira RM195. Walau bagaimanapun, mereka mula merasa ragu-ragu ketika individu yang menawarkan perkhidmatan itu tidak mengikuti panduan GPS yang ditunjukkan, dan Mei Qi mendakwa pemandu tersebut membuat beberapa pusingan yang mencurigakan.
Tidak hanya itu, dalam tempoh 20 minit, pemandu tersebut membuat panggilan telefon sebanyak 6 kali dengan individu yang tidak dikenali, membincangkan kedudukan mereka dan menimbulkan keraguan.

Situasi menjadi lebih rumit apabila perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 30 minit menjadi satu jam, dan apabila mereka meminta pemandu menghantar mereka semula ke hotel, pemandu tersebut membawa mereka ke tempat tarikan pelancongan dengan alasan tersendiri.
Merasa ada yang tidak kena, kumpulan pelancong tersebut membuat pembayaran kepada pemandu sebelum akhirnya melarikan diri ke kafe di sebuah stesen minyak untuk mengelakkan risiko yang lebih besar.
Mei juga memberi amaran kepada orang ramai yang merancang melancong ke Thailand untuk berhati-hati, tidak mudah mempercayai tawaran yang tidak masuk akal, atau yang diberikan di tepi jalan.