Duit syiling bernilai RM20,544 dilonggok depan rumah untuk bayar nafkah anak, siap guna penyodok nak angkat
Seorang bapa tetap perlu menyediakan nafkah buat anak-anaknya walaupun mereka sudah bercerai dengan pasangan dan cahaya matanya berada di bawah jagaan orang lain. Tak kiralah di negara mana sekalipun, tanggungjawab menunaikan nafkah anak ini memang menjadi konflik yang tidak berkesudahan.
Seorang lelaki di Amerika Syarikat melonggokkan berpuluh-puluh ribu duit syiling satu sen bernilai AS$5,000 (RM20,544) di hadapan rumah bekas isterinya sebagai bayaran nafkah penjagaan anaknya.
Tindakan melulu lelaki itu bagaimanapun dibalas dengan kebaikan apabila bekas isteri dan anaknya mendermakan wang itu kepada pusat bantuan keganasan rumah tangga.
Anaknya, Avery Sanford berkata, ketika kejadian, bapanya tiba di hadapan rumah dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV).
“Dia berhenti dan memusingkan SUV itu ke arah belakang dan melonggokkan duit syiling di atas jalan.
“Ibu saya menyaksikan kejadian tersebut dan bertanyakan kepada bapa saya tentang tindakannya.
“Dia kemudian memberitahu bahawa wang itu adalah untuk nafkah perbelanjaan kami yang terakhir,” ujar Avery.
Dia berkata, ibunya kemudiannya mengumpulkan duit syiling tersebut menggunakan sebatang penyodok.
“Dia bukan sahaja memalukan ibu, malah saya dan kakak saya. Amat menyedihkan kerana dia tidak berfikir dahulu sebelum bertindak ,” kata Avery.
Dalam pada itu, lelaki tersebut dalam satu temu bual bersama stesen televisyen WTVR berkata, dia mengaku melakukan perbuatan itu kerana didorong oleh kekecewaannya selama 18 tahun.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bermaksud untuk merosakkan hubungan dengan anaknya meskipun dipengaruhi dengan emosi ketika melakukan perbuatan itu.
Baca : Lelaki sanggup tukar number plate sebab tak nak kena tangkap lepas langgar lari