Gadis berhabis gaji dekat teman lelaki kerana takut ditinggalkan, sanggup bagi ibu RM50 tiap bulan
Kebiasaannya kita mendengar golongan Adam yang sanggup berhabis untuk pasangan mereka, namun berlainan pula dengan perkongsian seorang wanita di laman TikTok.
Apa yang mengejutkan, individu tersebut sanggup memperuntukkan hampir separuh daripada gajinya untuk diberikan kepada teman lelaki atas alasan takut ditinggalkan.
Menerusi perkongsian yang tular di laman TikTok, individu tersebut memuat naik senarai komitmen bulanan yang dibelanjakannya, di mana dia memperuntukkan RM900 sebulan kepada teman lelaki.
“Gaji RM2,000… Bagi pakwe RM500, tak bagi takut kena tinggal. Bayar kereta RM500, bayar sewa rumah RM200, personal loan pakwe buat atas nama RM400, bagi emak RM50.
“Nasib emak memahami anak dia susah. Selebihnya buat belanja makan. Belum time dating lagi belanja pakwe makan. Hidup sekarang semua keras,” demikian tulis individu tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak memperincikan lebih lanjut mengenai perkongsian tersebut sama ada ia berdasarkan pengalaman sebenar ataupun sekadar ‘content’ semata-mata.
Namun apa yang pasti, perkongsian video tersebut mengundang perhatian warga maya khususnya kaum Hawa.
Segelintir daripada netizen mengecam individu berkenaan kerana terlalu melebihkan kekasih sehingga sanggup mengenepikan keutamaan kepada ibu sendiri.
“Seriuslah sanggup berhabis untuk pakwe? Mak yang bela kau dari kecil dibagi RM50 je… semoga diberi kesedaran.
“Hilang pakwe tak apa, jangan hilang keredaan mak ayah.
“Syurga di bawah tapak kaki pakwe kot,” sindir netizen.
Dalam pada itu, majoriti warga maya menasihatkan individu berkenaan agar mencari kekasih lain yang bukan ‘kaki kikis’.
“Saya dulu macam ni lah… sebab sayang. Syukur tersedar dan tak lagi menanggung biawak hidup.
“Harap sis jumpa seseorang yang lebih baik. Jangan menyusahkan diri sebab takut ditinggalkan.
“Sis, kumbang bukan seekor. Baik tinggal sekarang sebelum kahwin,” demikian komen netizen.