
Gadis Maut, Kereta Remuk Akibat Bertembung Lori
Semalam seorang gadis dilaporkan maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu dalam sebuah kemalangan yang membabitkan kereta Hyundai Atos bertembung dengan sebuah lori Hino 5 tan berhampiran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Renggam, Simpang Renggam, Kluang.
Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Muhammad Nizar Ma’mun daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada jam 7.33 malam.

“Susulan itu seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Hyundai Atos dipandu gadis berkenaan, Tasnim Nazatul Amiera Mohd Nasrun berusia 21 tahun dengan sebuah lori Hino lima tan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Sementara pemandu lori berkenaan katanya, Mohd Suhaimi Samsudin, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tersebut ditamatkan pada jam 9.42 malam.
Bas Ekspres Terbabas Di Gopeng, Dua Cedera