Gara-gara diasak dan ditanya soalan ‘personal’ bertubi-tubi, wanita ini pengsan akibat kegelisahan
Baru-baru ini, tular satu video yang mendakwa seorang wanita seakan pengsan selepas diasak dengan pelbagai soalan dari saudara-maranya ketika menyambut hari Raya Aidilfitri.
Wanita yang pengsan itu dikenali sebagai Dian. Pada awal video tersebut, dia hanya duduk di atas sofa sambil fokus menatal skrin telefon pintar di tangannya.
Walau bagaimanapun, situasi menjadi agak tegang apabila pelbagai soalan diajukan kepadanya. Bukan itu sahaja, wanita tersebut turut dibandingkan dengan orang-orang di sekelilingnya sehingga dia kelihatan gelisah dan tertekan.
“Mak cik masa sebaya kamu, sudah ada anak, rumah sendiri, kereta sendiri,” kata salah seorang wanita yang berada berdekatan dengan Dian.
“Ya, takkanlah kamu tak ada rasa malu,” kata seorang lelaki yang duduk berhampiran dengannya.
Pada saat itu, Dian kelihatan sudah tidak dapat ‘menghadam’ segala soalan yang dilontarkan oleh ahli keluarganya.
Tidak tahan dengan perbualan tersebut, wanita tersebut tiba-tiba pengsan di atas sofa. Melihat keadaan Dian, ahli keluarganya termasuk perakam video tersebut merasa cemas atas apa yang menimpa wanita berkenaan.
Selepas video tersebut tular di media sosial, ia meraih perhatian dan reaksi pelbagai daripada warga maya, khususnya di Indonesia.
Ada yang berpendapat bahawa video tersebut hanyalah lakonan semata-mata dan merupakan ‘content‘ di media sosial.
Sungguhpun begitu, ada juga yang bersetuju saudara-mara tidak sepatutnya bertanya soalan yang tidak wajar dan sensitif ketika semua sedang bergembira menyambut hari lebaran.
Selain daripada soalan-soalan tersebut, ahli keluarga juga harus menjaga sensitiviti dengan tidak membandingkan individu tersebut dengan orang lain.
“Mungkin itu hanyalah content… tetapi memang relevan dan sebaiknya tak perlulah bertanya dan membandingkan dengan masa lalu ibu bapanya..”
“Setiap anak memiliki keadaan yang berbeza-beza,” komen salah seorang pengguna media sosial.