Gara-gara melanggar etika pemakaian, pihak restoran di KL minta pelanggan pakai kain sarong sebelum masuk
Bagi restoran tertentu, terdapat kod pakaian tertentu yang diharapkan dipatuhi oleh pengunjung supaya ia sesuai dengan suasana serta sebagai bentuk penghormatan terhadap sensitiviti tempatan.
Baru-baru ini, dua orang pelanggan lelaki tidak dibenarkan memasuki premis restoran mewah itu selepas mereka didapati tidak mematuhi tatacara pemakaian yang ditetapkan. Sebaliknya, mereka memakai seluar pendek.
Oleh disebabkan itu, pihak restoran telah memberikan mereka kain sarung atau kain pelikat yang sering dipakai oleh kaum lelaki terutamanya golongan ayah-ayah ketika berada di rumah.
Selepas sudah memakai kain pelikat sebagai ‘syarat’, barulah mereka dibenarkan untuk menikmati makan malam di restoran mewah berkenaan.
Menurut Ye (bukan nama sebenar), rakannya itu telah membelanjakan lebih dari RM1,000 pembelian baucar untuk makan di restoran mewah dipercayai di Atmosphere 360 terletak di Menara Kuala Lumpur.
Daripada kesemua ahli keluarganya, hanya kod pemakaian rakannya bersama ayahnya sahaja yang tidak dibenarkan manakala pakaian wanita dan kanak-kanak tidak menjadi masalah.
Pada awalnya, mereka mahu membatalkan pembelian dan meminta untuk wang dipulangkan. Tetapi pihak restoran tidak boleh berbuat demikian dan menyebabkan mereka berdua tiada pilihan dan perlu memakai kain sarung tersebut.
Hasil carian kami di laman web Atmosphere 360, restoran mewah ini sudah memaparkan kod pemakaian yang ditetapkan oleh setiap pelanggan lelaki dan juga wanita yang ingin menikmati hidangan di lokasi berkenaan.
Rupanya Ada Pelanggan Lain Yang Pernah Alami Situasi Sama
Ingatkan dua orang pelanggan ini sahaja yang berdepan detik disuruh untuk memakai kain sarung di restoran mewah ini. Rupanya, ada pelanggan lain juga pernah melalui situasi sama.
Ada yang melihat pemakaian kain sarung ini sebagai salah satu pengalaman menghiburkan bagi mereka. Namun, ada juga menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.