Gara-gara tak tahan dipukul ibu, budak nekad lompat dari tingkat lima rumahnya
Seorang kanak-kanak lelaki bertindak melompat dari tingkat lima di sebuah blok rumah pangsa untuk melarikan diri daripada ibunya yang dipercayai sering memukulnya.
Insiden yang berlaku di Anhui, China tersebut berjaya dirakam oleh orang awam dengan menyaksikan kanak-kanak itu melompat dari penyaman udara di bahagian luar blok kediaman tersebut. Kejadian itu berlaku dipercayai selepas ibunya yang berada dalam rumah memukulnya beberapa kali menggunakan kayu.
Difahamkan individu yang merakam kejadian berkenaan menjerit meminta wanita itu untuk berhenti memukul anaknya sebelum kanak-kanak tersebut bertindak untuk terjun. Video itu kemudian mendapat lebih daripada 10 juta tontonan di platform Weibo.
Menurut pihak polis, kanak-kanak lelaki itu dikejarkan ke hospital dan didapati tulangnya patah di beberapa bahagian badan.
Bagaimanapun, menerusi kenyataan yang disiarkan di akaun rasmi media sosial polis telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila penyiasat berkata ibu kanak-kanak itu bertindak memukulnya kerana mahu memujuk dia untuk masuk semula ke dalam rumah selain bimbang dia mungkin terjatuh.
Seorang kakitangan dari Persekutuan Wanita China mendakwa bahawa ibu kanak-kanak itu hanya ‘main-main’ untuk memukulnya dan percaya bahawa dia telah terjatuh dari bangunan secara tidak sengaja.
Sementara itu, kejadian tersebut juga mendapat pelbagai reaksi warganet yang mengecam tindakan wanita itu kerana memukul anaknya dan mendakwa kanak-kanak berkenaan pasti berada dalam ketakutan sehingga sanggup terjun.