Gigi palsu digunakan orang ramai sehingga kini, ini asal usul tentangnya yang ramai kembang tekak. HARI ini biasa kita dengar dan lihat individu terutama warga emas yang sudah tiada gigi memilih untuk memakai gigi palsu. Ini kerana memakai gigi palsu lebih murah dan cara paling mudah untuk mengatasi masalah ‘ketiadaan’ gigi.
Gigi palsu dibuat daripada bahan-bahan termasuk resin, porcelain, dan acrylic. Adalah menjadi satu kebiasaan kebanyakan doktor gigi menggunakan acrylic dan porceilin untuk menghasilkan gigi palsu.
Namun berdasarkan catatan sejarah, asal usul gigi palsu suatu masa dahulu dihasilkan daripada gigi pernderma yang sanggup menjualkan gigi mereka terutama golongan miskin.
Namun tidak kurang juga gigi-gigi palsu yang dibuat daripada gigi yang dicabut daripada mayat penjenayah yang telah dihukum mati, termasuk juga mayat tentera yang terbunuh di dalam peperangan.
Contohnya pada tahun 1815, ketika itu bidang pergigian masih baru, namun kebanyakan individu golongan kaya pada masa itu mengalami masalah ketiadaan gigi.
Justeru, mereka mengambil gigi daripada puluhan ribu mayat tentera yang terkorban dalam perang Waterloo iaitu peperangan yang tercetus di antara tentera Perancis diketuai oleh Napoleon Bonaparte menentang gabungan sekutu tentera British, Belanda, Begium dan Jerman.
Zaman ketika abad ke 18 hingga awal abad ke 19, golongan bangsawan dan kaya gemar mengambil gula, sekaligus menyebabkan gigi mereka menjadi kekuningan, hitam dan rosak.
Salah satu amalan yang popular pada waktu itu ialah mengunakan larutan berasid bagi menyingkirkan enamel iaitu lapisan luaran gigi yang melindungi gigi manusia bagi memutihkannya.
Namun tindakan itu telah menyebabkan kebanyakan gigi golongan kaya menjadi reput dan mudah tertanggal. Maka ramailah golongan bangsawan yang ‘hilang’ gigi pada usia sebelum tua sekaligus meningkatkan permintaan terhadap gigi palsu.
Ketika itu, teknologi pembuatan masih belum maju, doktor gigi menggunakan gading gajah sebagai tapak gigi palsu sebelum melekatkan gigi-gigi manusia padanya.
Ada juga pembuatan gigi palsu dengan cara mengukir rupa bentuk seperti gigi manusia secara terus pada gading-gading tersebut.
Dalam tahun 1780 an sebuah gigi palsu daripada gading gajah yang dilekatkan dengan gigi manusia berharga sekitar £100 di Britain, manakala gigi palsu ukiran gading tanpa gigi manusia dijual lebih murah.
Bagi kebanyakan penduduk, harga itu di luar kemampuan golongan kebanyakan. Tambahan pula, gigi palsu berkenaan biasanya tidak mampu bertahan lama kerana dipakai di dalam persekitaran mulut yang mengandungi banyak bakteria dan tidak sihat.
Meskipun pemakaian gigi palsu pada ketika itu nampak elegan dan bijak, namun sebenarnya ia tidak selesa dipakai, tambahan pula mudah tertanggal. Namun individu yang memakai gigi palsu boleh melambangkan status kekayaan mereka, jadi bolehlah mereka tayang gigi palsu kepada kawan-kawan seperti budak-budak sekarang tayang iPhone kepada rakan-rakan.
Justeru terdapat permintaan tinggi terhadap gigi palsu yang mengandungi gigi manusia. Namun sumber penderma gigi manusia hidup pula sangat terhad, manakala sumber gigi daripada penjenayah yang mati dihukum juga tidak mencukupi.
Maka ketika berlakunya perang Waterloo terdapat banyak mayat bergelimpangan yang dilonggokkan pada satu kawasan di atas tanah.
Penduduk tempatan termasuk tentera yang masih hidup telah bertindak mencabut gigi-gigi daripada mayat-mayat berkenaan menggunakan ragum. Tujuannya tidak lain untuk menjualnya kepada doktor gigi sekaligus dijadikan sumber pendapatan yang lumayan.
Doktor gigi pula akan merebus gigi-gigi tersebut sebelum memotong bahagian hujungnya untuk dilekatkan pada gading seterusnya dijual kepada golongan bangsawan yang memerlukan.
Kalau kita perhatikan dalam gambar, hanya gigi barisan hadapan sahaja ditampal pada gading. Difahamkan, memang tidak banyak gigi geraham yang dijual kepada doktor gigi, kerana ia terlalu susah untuk dicabut daripada mulut mayat.
Difahamkan juga kebanyakan golongan bangsawan mungkin tidak mengetahui bahawa gigi palsu yang dipakai di dalam mulut mereka sebenarnya diperbuat daripada gigi-gigi mayat tentera yang terbunuh.
Dalam tahun-tahun di pertengahan abad ke-19, penggunaan gigi manusia di dalam menghasilkan gigi palsu merosot.
Antaranya disebabkan pengenalan Anatomy Act dalam tahun 1832 di Britain yang mengenakan lesen kepada individu untuk menguruskan jenazah dan juga kemunculan produk-produk baru untuk menggantikan gigi sebenar.
Juru teknikal mula menjalankan eksperimen mencari kaedah baru seperti penggunaan logam emas dan perak untuk membuat gigi palsu.
Pada pertengahan abad ke 19 juga menyaksikan munculnya penggunaan gigi porcelain yang dicipta oleh seorang tukang barangan kemas bernama Claudius Ash dalam tahun 1830.
Perkembangan teknologi seterusnya yang semakin pesat sampai ke hari ini membawa kepada ciptaan pelbagai jenis gigi palsu yang boleh kita lihat di pasaran.