Guna kotak kasut untuk bawa makanan luar dalam pawagam, tindakan lelaki ini buat orang ramai ‘goyang’
Setiap peraturan yang dibuat pasti ada sebabnya. Misalnya, jika semua membawa makanan luar ke dalam pawagam, potensi untuk makanan itu tumpah, bersepah dan ditinggalkan memang ada.
Disebabkan itu, pemeriksaan beg dilakukan ketika semakan tiket sebelum dibenarkan masuk ke dalam pawagam.
Terbaharu, seorang pengguna TikTok @ahroooon telah berkongsi sebuah video memaparkan bagaimana dia menyeludup makanan luar ke pawagam.
Menerusi video tersebut, lelaki tersebut memasukkan makanan seperti burger, kentang goreng dan air di dalam kotak kasut. Kemudian, dia meletakkan kotak tersebut ke dalam plastik seolah-olah baru sahaja membeli ‘kasut’ untuk mengaburi staf pawagam.
Perkongsian itu bagaimanapun telah mendapat pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya mengkritik tindakan lelaki itu yang berkongsi trik tersebut di media sosial.
Menjengah di ruangan komen, ramai mengakui pernah melakukan trik sebegitu dan berasa bimbang jika selepas ini mereka tidak dapat berbuat demikian disebabkan video tersebut tular.
Bukan sahaja membawa makanan luar masuk ke dalam pawagam, malah tindakannya merakam dalam pawagam ketika filem sedang ditayangkan turut dikritik oleh orang ramai.