
Guru Maut Motorsikal Hilang Kawalan Langgar Besi Penghadang Jalan
Seorang guru lelaki maut apabila motosikal yang dinaikinya hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di bahu kiri jalan di Kilometer 91.8, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nasuha Mustaffa, 34, berasal dari Kampung Alor Melintang Mukim Gunong, Alor Setar.
Zaidy berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang terbabas sendiri.
“Ketika kejadian motosikal mangsa sedang bergerak dari arah utara menghala ke Selatan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang sedang bergerak di lorong kecemasan itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk ujian saringan Covid-19 dan proses bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kanak-Kanak Maut Akibat Didera