Habis makanan basi dan tak berusik, banyak individu kejar ‘like’ dari pahala, semua sebab konten

Habis makanan basi dan tak berusik, banyak individu kejar ‘like’ dari pahala, semua sebab konten

Bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan dan sudah pasti ramai daripada kita yang ingin mengerjakan amal ibadah termasuklah amalan bersedekah dan memberi makan orang berpuasa.

Tidak dapat dinafikan orang Malaysia terkenal dengan kayanya sifat pemurah namun dalam kita mengejar pahala, jangan lupa dengan perkara-perkara yang Allah SWT tidak suka.

Baru-baru ini terdapat kes lambakan makanan yang didermakan terbiar sehingga makanan tersebut basi dan dibazirkan.

Apa yang dikesalkan oleh seorang pelayar bernama Ashraff Khan apabila berlakunya pembaziran yang keterlaluan seperti mana yang diluahkan melalui perkongsiannya di Facebook.

Melihat situasi ini, dia berpandangan niat baik mereka yang bersedekah akhirnya akan berakhir dengan pembaziran apabila beratus-ratus bekas makanan yang tidak disentuh dibiarkan bersepah di tepi jalan.

Posting tersebut yang dikongsi semula di grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ini mula menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

“Tak tahu nak salahkan siapa atau di mana silapnya. Setiap kali bulan Ramadan isu pembaziran makanan di jalanan pasti menjadi hangat.

“Ni dinamakan buat baik dapat dosa. Satu jam saya berada di sekitar Chow Kit antara jam 12 tengah malam sehingga 1 pagi.

“Hampir 15 kumpulan telah hadir dengan membawa pelbagai makanan serta pakaian untuk diberikan kepada rakan jalanan (gelandangan),” katanya.

Menurut Ashraff, antara punca berlakunya pembaziran seperti ini disebabkan mereka tidak membuat kaji selidik terlebih dahulu sebelum menggerakkan projek mengagihkan sumbangan.

Ashraff mencadangkan agar makanan tersebut disedekahkan kepada tempat-tempat atau individu lain yang turut memerlukan.

“Nak kata budak-budak yang bagi tidak juga, tapi tulah orang nak buat street feeding dia nak buat juga, bawa makanan sampai 50 hingga 100 bungkus. Lepas tu ambil gambar budget (berharap) dapat like (tanda suka) beribu.

“Tak buat ‘homework’, tak nak jalin kerjasama bersama mereka yang lebih arif, antara punca kepada pembaziran berlaku. Banyak lagi tempat yang boleh kita salurkan makanan seperti pak guard sekitar sekolah-sekolah di ibu kota.

“Selain itu penjaga pesakit di hospital-hospital, para pekerja pembersihan, petugas di unit kecemasan hospital. Juga masyarakat di flat, rumah kos rendah, apartment, rumah perlindungan, masjid atau surau serta jiran tertangga. Cukuplah 10 dulu, yang lain anda fikir sendiri,” katanya.

Pemuda ini berkata dia bukanlah marah atau melarang sekiranya ada pihak yang mahu melakukan kerja-kerja amal seperti ini di bulan Ramadan.

Sebaliknya dia hanya kesal apabila melihat makanan-makanan dibiarkan malah langsung tidak disentuh kerana terlalu banyak diterima oleh gelandangan.

Dalam pada itu, dia turut mendakwa terdapat makanan yang diberikan sudah rosak atau tidak boleh dimakan lagi.

“Saya bukan marah, jauh sekali cemburu dengan program anda, cuma sedihlah, kita di sini membazir makanan macam tu saja. Negara lain nak makan pun bercatu.

“Tinjauan saya juga malam tadi dapati tiga bungkus makanan dari kumpulan berlainan telah basi dan kotoran sisa makanan berlambak-lambak sehingga ada makanan yang tidak tercuit dibiarkan sahaja.

“Satu saya nak tanya. Kita boleh makan berapa banyak makanan dalam sehari? Kalau dah seorang gelandangan dapat sampai 20 ke 30 bungkus, anda rasa mereka akan makan ke?” katanya.

Dia menambah, cukup-cukuplah sebahagian masyarakat membazir makanan di rumah sendiri dengan membeli pelbagai juadah di bazar serta bufet Ramadan.

“Jangan kita jadi salah seorang sahabat iblis yang suka membazir,” ujarnya penuh kecewa.

Situasi ini mengundang rasa sedih dalam kalangan orang ramai dan mereka mencadangkan supaya ada pihak tampil menguruskan sumbangan diberikan dengan cara yang lebih sistematik.

Rata-rata komen warga Facebook berpendapat seeloknya bantuan makanan itu diberikan kepada anak-anak yatim, Sekolah Tahfiz, pelajar Institut Pengajian Tinggi dan saudara yang lebih memerlukan.

Ini bukan merupakan isu yang baharu, setiap tahun ada sahaja isu lambakan makanan yang dibazirkan untuk agihan berbuka puasa kepada golongan gelandangan.

Justeru orang ramai yang ingin bersedekah sepatutnya menggunakan pendekatan yang betul dan mengagihkan bantuan kepada mereka yang betul-betul memerlukan seperti meletakkan di masjid-masjid, pusat pengajian dan sebagainya.

Baca : Pelancong UK terkejut kena tipu RM120 untuk gunting rambut, soalan yang diajukan buatkan ‘barber’ terdiam

Leave a Comment