Hanya dengan menjadi tukang cuci rumah, wanita ini berjaya menjadi jutawan dan hasil pendapatan cecah RM5 juta sebulan.
Seorang wanita berkongsi kisah bagaimana dia bergelar jutawan berkat kesibukan menjadi tukang cuci rumah di beberapa buah negara di dunia selain mempunyai lebih 10 juta pengikut dalam aplikasi TikTok, lapor portal berita Daily Express semalam.
Auri Kananen, 30, dari Tampa, Florida mula membersihkan rumah orang lain secara percuma pada 2020 semasa hujung minggu. Dia merakam aksi tersebut di laman YouTube dan TikTok.
Pada hari biasa pula, Auri bekerja sebagai seorang penyelia pembersihan.
Videonya di media sosial menjadi begitu popular sehingga menarik banyak penaja dan iklan. Pengikut Auri juga bertambah. Dia mempunyai lebih 10 juta pengikut di laman TikTok dan mampu memperoleh pendapatan AS$535,675 (RM5 juta) daripada saluran YouTube miliknya.
Bintang media sosial itu berkata: “Membersih rumah adalah menyeronokkan, perkara terbaik yang pernah ada. Saya sangat menyukainya. Ia membuatkan saya berasa puas. Gembira, sangat santai.

“Saya masih ingat tentang keterujaan saya untuk mempunyai 100,000 pengikut tetapi sekarang saya mempunyai 10 juta pengikut.
“Wang tidak mengubah siapa saya, saya hanya suka membersihkan dan berkongsinya kepada dunia. Saya suka pekerjaan saya. Ia sangat memuaskan apabila anda boleh mengelap lapisan habuk yang tebal. Ia perasaan terbaik yang pernah ada,” ujarnya.
Pada tahun lepas, Auri melancarkan perniagaannya dan mengembara ke seluruh dunia untuk membersihkan rumah termasuk melawat Britain, Switzerland dan Sweden.