Hanya kerana minum 4 botol besar air mineral, wanita ini tiba-tiba rebah dan meninggal di garaj rumah
Setiap hidupan di muka bumi ini memerlukan air untuk terus hidup, begitu juga makhluk yang bernama manusia.
Setiap sel, tisu dan organ di dalam tubuh badan kita semua memerlukan air untuk berfungsi dengan baik.
Walau bagaimanapun, nasib berbeza menimpa seorang wanita di Indiana, Amerika Syarikat apabila maut selepas meminum air yang banyak.
Difahamkan wanita berkenaan yang juga ibu kepada dua anak itu disahkan mati kerana ketoksikan air – akibat minum air terlalu cepat.
Dipercayai semuanya bermula apabila Ashley Summers, 35, meminum air sebanyak empat botol dalam tempoh 20 minit kerana berasa dahaga akibat dehidrasi ketika sedang mengembara bersama keluarga di Tasik Freeman.
Namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia tiba-tiba rebah sebaik tiba di rumahnya dari tripnya bersama keluarga. Dia juga tidak sedarkan diri sejak dari itu.
“Seseorang berkata kepadanya untuk minum empat botol air dalam masa 20 minit.
“Maksud saya purata botol air adalah seperti 16 auns, jadi itu adalah 64 auns yang diminum dalam tempoh 20 minit. Malah ia adalah setengah gelen dan itu adalah amaun yang sepatutnya diminum setiap hari,” kata abang Summer, Devon Miller.
Summer dilaporkan ada mengadu kepada keluarganya ketika sedang bercuti di mana dia seolah-olah memerlukan air minum yang lebih selain kerap pening dan sakit kepala.
“Kakak saya, Holly menghubungi saya dan memaklumkan Summer berada di hospital kerana mengalami bengkak otak. Mereka bagaimanapun tidak tahu apakah punca perkara itu terjadi dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk bengkak tersebut surut dan dia kelihatan tidak baik.
“Ia adalah satu perkara yang mengejutkan buat kami semua. Apabila mereka berkata tentang ketoksikan air, ini satu penyakit?” ujar Miller lagi.
Ketoksikan air dikenali sebagai keracunan air atau mabuk air disebabkan tindakan meminum air yang banyak dalam tempoh yang singkat atau buah pinggang menyimpan terlalu banyak air disebabkan keadaan kesihatan yang tidak disedari.
Antara gejala ketoksikan air adalah rasa tak sihat, alami kekejangan otot, sakit, loya dan juga sakit kepala.
Ahli toksikologi iaitu Dr Blake Froberg dan hospital berkenaan menjelaskan kematian seperti itu kebiasaan berlaku semasa musim panas atau ketika seseorang bekerja di luar atau kerap bersenam.
“Ada perkara tertentu yang boleh membuatkan seseorang lebih berisiko untuk mengalami perkara itu, tetapi perkara keseluruhan yang berlaku ialah anda mempunyai terlalu banyak air dan tidak cukup natrium di dalam badan,” kata doktor itu.
Oleh itu adalah penting buat orang ramai untuk meminum minuman yang mempunyai elektrolit, natrium dan juga kalium.
Summers bagaimanapun merupakan seorang penderma organ dan dia dapat mendermakan organ dalamannya kepada lima individu jelas keluarganya.