Harga satu slot kubur ini cecah hampir RM250,000, sekali pakej penjagaan dan bacaan ayat suci Al-Quran
Baru-baru ini tular di media sosial TikTok apabila satu pasangan suami isteri di Indonesia telah merancang untuk membeli tanah kubur dan ingin ditanam bersebelahan setelah mati kelak.
Apa yang mencuri tumpuan warga maya adalah apabila tanah kubur yang ditawarkan untuk tempahan mencecah ratusan ribu ringgit!
Dalam video itu, pasangan berkenaan telah melawat kawasan perkuburan terkenal di Indonesia iaitu San Diego.
Si isteri kemudian berkongsi pakej dan harga yang ditawarkan di San Diego Hills yang bermula dari harga RM18,811 (single), RM133,830 (semi-private) dan RM249,453 (private).
Manakala di Al-Azhar, harga pakej bermula dari RM11,721 bagi kematian solo (single).
Katanya lagi, ramai yang memilih untuk memiliki tempat istirahat terakhir seperti itu kerana terdapat kemudahan seperti penjagaan landskap di tanah kubur serta penyediaan masjid yang mengalunkan ayat suci Al-Quran.
Dalam pada itu, mereka berdua turut menjelaskan bahawa ciri-ciri kemudahan dan fasiliti itu sangat penting kerana mereka tidak punya anak untuk mendoakan kebajikan alam akhirat setelah mati kelak.
Sekadar info, allahyarham Ashraf Sinclair juga dikebumikan di San Diego Hills, Indonesia setelah meninggal dunia pada 18 Februari 2020 yang lalu.