Hotel ternama dikecam hidang minuman oren yang diperam dengan menggunakan bakteria tangan pekerja
Hotel popular di Jepun membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakan pekerjanya merendam tangan ke dalam minuman oren.
Hotel AWA Nishiizu di Numazu, wilayah Shizuoka, dikecam kerana merisikokan kesihatan pelanggan dengan melanggar peraturan kebersihan.
Pada 23 April lalu, program televisyen tempatan, Beat Takeshi’s TV Tackle mendedahkan bahawa ramuan berwarna oren yang disimpan di dalam balang plastik di kafe hotel tersebut sebenarnya sirap diperbuat daripada limau mandarin yang diperah serta gula.
Namun, rahsia bahan tersebut adalah proses penapaian yang menggunakan bakteria daripada tangan manusia.

Menurut seorang kakitangan yang ditemu ramah, sirap tersebut ditapai dengan bantuan bakteria yang hidup pada tangan manusia, justeru, mereka menggunakan tangan kosong untuk mengacau air tersebut.
Seorang kakitangan lain kemudian menjelaskan bahawa sirap tersebut biasanya dicampur dengan air dan soda untuk menghasilkan ‘minuman kesihatan’. Ia biasanya diminum kira-kira 15 minit sebelum mandi untuk mendapatkan kesan detoks.
Selepas insiden itu menjadi kontroversi, pengendali Hotel AWA Nishiizu membuat permohonan maaf dan memberitahu bahawa minuman tersebut tidak lagi dihidangkan di hotel tersebut.