
Ibu mertua malu-malu bila menantu hulur tangan nak salam
Seorang wanita yang pertama kali menerima menantu lelaki dalam hidupnya mencuri perhatian ramai di media sosial.
Dalam rakaman yang dimuat naik di TikTok, Anieta, 45, kelihatan malu-malu untuk bersalaman dengan menantunya yang dikenali sebagai Eilman dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung pada Jumaat.
Ramai netizen turut memuji rupa paras Anieta yang dianggap masih muda untuk memegang status ibu mentua.
“Mak mentua kan macam mak sendiri. Salam je tak payah segan-segan.
“Lah ingat pengantin. Mak mentua rupanya. Muda sangat.
“Mak mentuanya muda sangat. Saya ingat dia pengantin.
“Mudanya mak mentua, patutlah segan silu,” tulis beberapa netizen pada video tersebut.
Anieta berkata dia gagal menyembunyikan rasa malu ketika majlis itu dan sebolehnya tidak mahu menyambut salam yang dihulur menantunya.
Anieta berkata anak perempuannya, Sharifah Dania Shaffin Shah, 23, berkenalan dengan Eilman, 24 tahun ketika berdepan satu situasi cemas, kira-kira tiga bulan lalu.
“Setakat apa yang saya tahu, mereka baru saja berkawan tiga bulan. Eilman berkawan dengan Kak Long iaitu anak perempuan saya. Dia yang selamatkan ketika Kak Long kena penampar dengan seorang lelaki.
“Katanya kes cemburu. Tapi mujurlah Eilman yang selamatkan Kak Long. Pada waktu itu, dia terus bawa Kak Long balik ke rumah ibunya, sebab Kak Long dah menggigil. Dari situ ibunya berkenan.
“Eilman ni seorang yang sangat menghormati orang tua. Dia sopan dan pemalu, jadi dia pun faham situasi saya,” ujar Anieta yang menetap di Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan.
Majlis akad nikah pasangan itu diadakan pada Jumaat malam di sebuah masjid sebelum berlangsungnya kenduri di kediaman Anieta pada Sabtu.