Ikan jarang ditemui ubah nasib nelayan, dijual pada harga RM1.6 juta.
Seorang nelayan di bandar Karachi, Pakistan, tiba-tiba menjadi jutawan setelah berjaya menangkap beberapa ekor ikan yang langka dan memiliki pelbagai khasiat perubatan.
Wion News melaporkan bahawa Haji Baloch, yang tinggal di perkampungan nelayan Ibrahim Hyderi, telah berjaya menangkap ikan yang jarang ditemui bersama pekerja nelayannya di Laut Arab pada hari Isnin yang lalu.
Ikan yang berjaya ditangkap oleh Baloch dikenali sebagai ikan emas atau ‘Sowa’ dalam dialek tempatan.
“Harga keseluruhan tangkapan ini dijual pada kira-kira 70 juta rupee (RM1.16 juta) di pelabuhan Karachi pagi semalam ketika nelayan itu melelong hasil tangkapan mereka,” kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.
Sowa adalah jenis ikan yang jarang ditemui dan dianggap sebagai ikan yang mahal. Purata beratnya adalah antara 20 hingga 40 kilogram dan boleh membesar sehingga 1.5 meter. Ikan ini sangat popular di negara-negara Asia Timur.

Bahan yang terdapat dalam perut ikan Sowa diketahui mempunyai khasiat perubatan dan penyembuhan yang luar biasa. Doktor juga menggunakan bahan seperti benang yang terdapat dalam badan ikan Sowa dalam beberapa prosedur pembedahan.
“Kami sedang memancing di laut Karachi apabila kami terserempak dengan tembolok ikan emas yang besar ini dan ini adalah rezeki yang tidak disangka untuk kami,” katanya.
Baloch menyatakan bahawa hasil jualan tersebut akan dikongsi di antara tujuh anak kapalnya.