
Imam Muda Asyraf Luah Perasaan Dan Kongsi Pengalaman Melanda Keluarga Masa Gempa Bumi Di Turkey
Kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria semalam benar-benar membuatkan ramai di antara kita terkejut, bimbang dan sebak mengenangkan situasi yang dihadapi mangsa-mangsa di sana.
Ramai mengetahui bahawa Pendakwah Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan,38 atau lebih dikenali Imam Muda Asyraf sekeluarga ketika ini telah berhijrah seketika ke Turkiye pada 24 Januari baru-baru ini.
Gempa bumi yang berlaku di Turkiye ketika ini dan melibatkan 10 wilayah ternyata mengundang kebimbangan buat rakan-rakan, keluarga dan para peminatnya dengan keadaannya sekeluarga.
Namun perkongsian terkini di Instagram pendakwah ini yang dalam keadaan selamat ternyata melegakan ramai pihak. Imam Muda Asyraf berkongsi catatan terbaru di Turkiye dan menjelaskan bahawa dirinya dan keluarga dalam keadaan selamat dan sihat kerana di Istanbul, kedudukan agak berjauhan dari kawasan ditimpa bencana.
Walau bagaimanapun, gempa bumi yang meragut nyawa ribuan orang itu menurutnya antara yang paling dahsyat dan tidak pernah dialami sebelum ini. Malah gegarannya juga terasa hingga ke Wilayah Syria dan Lubnan jauhnya.
Pun begitu, mujurlah keadaan beliau dan keluarga baik-baik sahaja serta tiada apa yang perlu dirisaukan. Mereka hanya merasa gegaran kecil dan ribut yang melanda Kota Istanbul pada ketika kejadian berlaku.

“Semoga Allah memberikan kesabaran dan ketabahan bagi mereka yang ditimpa musibah dan ujian ini. Kedudukan kami sekeluarga agak berjauhan. Menetap di Kota Istanbul hanya diterpa gegaran kecil serta ribut.
Ramai yang mesej bertanya khabar. Tak perlu dirisaukan. Alhamdulillah kami sekeluarga dalam keadaan sihat seadanya.
Banyak perkara yang terasa ingin dikongsikan. Namun hanyalah doa dari kalian kami hajatkan agar dipermudahkan segalanya di sini,” katanya.
Posting daripada pendakwah tersebut telah menerima pelbagai komen daripada netizen dan rakan artis yang bimbang akan keadaannya di sana.
Rata-rata mendoakan semoga ustaz tersebut bersama keluarganya berada dalam keadaan selamat.
Baca : Gila Lah Aiskrim Petai! Lepas Ni Buat Perisa Sambal Udang Dan Belacan Pula – Netizen