Itulah Kali Terakhir Saya Jumpa Mak, Lepas Daripada Kejadian Tu, Saya Dah Tak Jumpa Dia

Itulah Kali Terakhir Saya Jumpa Mak, Lepas Daripada Kejadian Tu, Saya Dah Tak Jumpa Dia

Dua warga emas maut manakala tiga cedera apabila sebuah kereta Perodua Kelisa terlibat kemalangan dengan sebuah van pekerja di Jalan Beruas-Parit, semalam.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah kereta dinaiki berlanggar dengan van pekerja di Jalan Beruas
Keadaan van pekerja yang terlibat nahas dengan Perodua Kelisa di Jalan Beruas

Dalam kemalangan itu, pemandu Kelisa, Fatimah Mohd. Ali, 64, dan seorang penumpang belakang, Mohd. Ibrahim Md. Deram, 77, maut di lokasi kejadian.

“Semalam saya sempat buat panggilan video dengan arwah mak, tak sangka ia adalah kali terakhir kami dapat bergelak-ketawa,” kata Ahmad Shahful Osman Azmi, anak kepada Fatimah Mohd Ali yang meninggal dunia dalam nahas.

Menurut Ahmad Shahful, 30, dia mengetahui berita kematian ibunya, 9 pagi ketika di tempat kerjanya di Sungai Petani, Kedah.

“Rakan saya yang tinggal di kampung hubungi saya.

“Susah saya nak percaya pada awalnya kerana baru semalam kami bersembang melalui panggilan video.

“Arwah mak sempat berlawak dengan saya dan bersembang dengan cucu bongsunya, Nur Arisa Adelia Ahmad Shahful, 2,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung, hari ini.

Difahamkan, Fatimah dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beruas untuk membawa Osman membuat pemeriksaan kesihatan.

Ahmad Shahful berkata, ibunya seorang yang periang dan suka membantu jiran tetangga untuk pergi membuat pemeriksaan kesihatan di klinik.

“Memandangkan mak boleh memandu kereta, arwah kerap membantu jiran yang berkeperluan. Kadang-kadang bawa mereka buat pemeriksaan di klinik, ada juga teman kawan-kawanya ke pasar.

“Sebelum ini mak akan maklumkan pada kami anak-anak jika mahu ke mana-mana. Tapi, hari ini tidak,” katanya.

Menurut anak bongsu dari tiga beradik itu, kali terakhir dia dapat pulang berjumpa ibu dan ayahnya adalah semasa cuti hujung Disember lalu.

“Semalam, saya ada beritahu mak yang kami sekeluarga akan balik Ahad depan. Sudah ketetapan Allah begini, saya reda.

“Maafkan adik mak, adik tak dapat jumpa mak lagi,” kata Ahmad Shahful, sebak.

Menurutnya, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Buluh Akar, Parit.

Baca : Warganet Bengang Dengan Perangai ‘Founder’ Kosmetik Kerana Jijik Nak Naik Kereta Wira – Naik Wira? Ewwwww

Leave a Comment