Janda anak 11 kena serbu lepas ‘kantoi’ khalwat dengan duda, lagi 3 bulan nak kahwin
Seorang anggota pasukan unit beruniform memberi alasan rumahnya tiada bekalan air ketika dicekup berkhalwat bersama seorang janda 11 anak di Taman Maju.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lebih mengejutkan ibu tunggal berusia 46 tahun itu merupakan tunangan orang yang sepatutnya berkahwin April ini selepas dua kali bercerai sebelum ini.
Pemeriksaan pada pukul 3.20 pagi Ahad lalu dilakukan lapan anggota Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Ibu Pejabat JAIM selepas mendapat aduan awam.
Ketika serbuan, anggota penguat kuasa terpaksa menunggu selama 15 minit walaupun ketika itu didapati lampu di bilik hadapan rumah teres itu masih bernyala sebelum pintu rumah dibuka seorang wanita berjubah.

“Pemeriksaan kemudian mendapati dua lelaki iaitu anak wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda berusia 35 tahun berada atas katil dalam bilik hadapan serta seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sedang tidur di bilik belakang.

“Hasil soal siasat, anggota pasukan unit beruniform itu memberi alasan rumahnya tiada bekalan air dan terpaksa bermalam di rumah janda berkenaan yang juga tunangan orang dan dijadualkan berkahwin April ini,” katanya.
Menurutnya siasatan awal mendapati, duda dua anak itu baharu bercerai pada Januari lalu dan mengenali anak lelaki janda berkenaan awal bulan ini yang dijadikannya sebagai anak angkat.
“Malah, janda yang tidak bekerja itu mempunyai 11 anak iaitu lapan anak hasil perkahwinan pertama dan tiga anak pada kali kedua serta dijadual berkahwin dengan lelaki lain April ini.
“Semakan juga mendapati, wanita itu juga mempunyai rekod berkhalwat dengan lelaki lain dua tahun lalu dan sudah bersekedudukan dengan duda itu sejak setahun lalu,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman manakala anaknya disiasat di bawah Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat.
Kejayaan itu juga katanya, adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.
Baca : Rakan sekerja kantoi berduaan dalam rumah dengan isteri masa suami pergi kerja