“Jangan buat sesuatu benda sewenang-wenangnya” – Ustaz Don beri penjelasan tentang isu boikot yang tular. Ketika ini, ramai berpendirian untuk memboikot semua produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel susulan apa yang berlaku terhadap penduduk di Palestin.
Namun, ada sesetengah pihak yang melakukan tindakan memboikot secara membuta tuli tanpa mencari bukti jelas tetapi sekadar sangkaan atau andaian semata-mata.
Sehubungan itu, pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal tampil memberi pandangan dan penjelasannya dalam isu boikot yang sedang hangat ketika ini.
Menerusi video Suria Malaysia di TikTok, Ustaz Don menyatakan tindakan memboikot pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW tetapi dilakukan dengan penuh hikmah iaitu dengan tujuan memberi pengajaran.
“Dalam Islam ada boikot. Nabi ada boikot sahabat nabi yang tak turun perang, jadi memang ada perbuatan boikot.
“Bila kita nak boikot buatlah mengikut perintah Ulul Amri, maksudnya jangan boikot membabi buta. Boikot ini bersasar, ada tujuan dan matlamat.
“Nabi buat dengan para sahabat untuk memberi pengajaran, bukan untuk membinasakan seseorang,” katanya.
Menurut Ustaz Don, boikot hari ini telah menyebabkan segelintir pihak terutama golongan marhaen yang terkesan dengan tindakan tersebut.
Malah, beliau juga mempersoalkan mengapa tindakan memboikot tidak dilakukan terhadap syarikat-syarikat lain yang menyokong Israel.
“Kenapa orang hanya tuju kepada makanan segara semata-mata? Kenapa syarikat-syarikat yang daripada Israel sendiri kita tak pernah bincang pun? Tak pernah pun orang suruh mereka letak jawatan.
“Seolah-olah pada saya nampak berat sebelah. Orang yang berjawatan besar, berkuasa dan mempunyai syarikat tiada siapa pun nak boikot.
“Sebaliknya, rakyat marhean yang kita boleh ‘titik’, kita ‘titik’ sampai teruk kehidupan dia,” ulasnya.
Justeru, Ustaz Don menasihati supaya setiap individu mengambil tahu maklumat sesebuah jenama terlebih dahulu sebelum memboikot.
“Jangan boikot sewenang-wenangnya kerana kita akan membinasakan institusi kekeluargaan seseorang,” katanya lagi.
Baginya, boikot perlulah secara bersasar iaitu ada tujuan dan matlamat dan bukannya secara semberono.