Jangan panik kalau salah transfer duit ke akaun lain, guna cara ini untuk dapatkan semula
Zaman sekarang ini kalau nak transfer duit, ada macam-macam cara seperti perbankan atas talian (online banking) dan juga menggunakan mesin Cash Deposit Machine (CDM).
Nak transfer duit sambil baring pun tak ada masalah kerana semuanya di hujung jari sahaja. Senang! Namun, kecanggihan ini juga boleh menyebabkan beberapa masalah berlaku seperti wang ‘dicuri’ oleh scammer.
Tetapi anda tak perlu risau kerana setiap masalah pasti akan ada jalan penyelesaiannya.
Apa nak buat jika tersalah masukkan duit ke akaun orang tidak dikenali?
Hanya kerana tersilap satu nombor akaun sahaja, segalanya boleh berubah kerana anda berkemungkinan telah memasukkan wang ke dalam akaun yang salah. Jadi, boleh ke nak dapatkan balik duit tersebut?
Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna Twitter (anisssurayaaa), ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mendapatkan semula duit anda sekiranya tersilap memasukkan wang ke dalam akaun orang lain.
Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
1. Buat laporan polis
Ketika anda membuat laporan polis tentang kesilapan memasukkan wang ke dalam akaun lain, beberapa maklumat perlu diberikan. Antaranya:
- Masa transaksi.
- Nombor akaun yang tersalah dimasukkan wang.
- Jumlah duit yang dimasukkan.
- Maklumat lain yang berkaitan.
2. Pergi ke cawangan bank yang digunakan
Jika anda tersalah memasukkan wang menggunakan akaun Maybank, jadi pergilah ke mana-mana cawangan Maybank berdekatan. Begitu juga jika anda menggunakan bank yang lain.
3. Dapatkan persetujuan daripada pemilik akaun bank yang dimasukkan wang tersebut
Walaupun itu adalah duit anda, tetapi anda juga perlu meminta persetujuan daripada pemilik akaun tersebut untuk memulangkan semula wang berkenaan. Sekiranya mereka bersetuju, individu tersebut perlu datang ke bank untuk mengisi borang khas.
Tapi macam mana kalau individu berkenaan tidak mahu memulangkan semula wang anda? Salah satu caranya adalah dengan membawa kes ini ke mahkamah.
Semoga informasi yang dikongsikan dapat membantu anda yang sedang menghadapi situasi ini. Ikuti langkah-langkah di atas dengan teliti dan semoga anda boleh mendapatkan semula wang dengan selamat dan lancar.
Mungkin kesilapan tersebut boleh menjadikan anda lebih berhati-hati dan peka apabila melakukan segala transaksi bank selepas ini.