Jemaah wanita dihalang solat di ruang utama masjid sebab membawa anak
Boleh dikatakan hampir di setiap masjid sepanjang bulan Ramadan akan penuh kerana ramai yang ingin mendirikan Solat Sunat Tarawih berjemaah.
Namun, berlaku satu kejadian di Masjid Puncak Alam di mana beberapa jemaah wanita mendakwa mereka dihalang oleh pihak pengurusan masjid untuk bersembahyang di ruang utama kerana membawa kanak-kanak.
Wanita terbabit mendakwa pengurusan dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid itu mengarahkan mereka keluar dari ruang solat utama ketika mahu menunaikan solat tarawih, semalam dan memaklumkan ruang itu hanya untuk wanita dewasa.
Salah seorang jemaah wanita yang dikenali sebagai Syima menjelaskan bahawa kedua-dua anak perempuannya berusia lima dan sembilan tahun tidak membuat bising kerana sudah biasa mengunjungi tempat ibadah tersebut.
“Ketika selesai solat Maghrib, seorang petugas masjid datang dan menarik tangan anak saya berusia lima tahun dan mengarahkannya untuk solat di luar. Petugas itu memaklumkan hanya wanita dewasa sahaja boleh berada di ruang solat utama,” – Syima.
Seorang lagi jemaah bernama Norhidayah turut melalui perkara yang sama apabila dia dan anak perempuan berusia lapan dan 10 tahun diminta untuk solat di luar ruangan utama.
“Datang awal masa maghrib, tak boleh solat dalam ruang solat wanita yang berhawa dingin, kena halau keluar sebab ada bawa anak-anak bersama,” – Norhidayah
Tambah Norhidayah, menurut petugas di sana, ruangan itu dikhaskan untuk jemaah lebih berumur, yang hadir lewat ke masjid.
Samiratul Fuad turut berkongsi pengalaman dihalau oleh AJK Masjid Puncak Alam ketika mahu solat berjemaah bersama anak-anaknya yang sudah berusia 13 tahun dan 14 tahun.
“Mereka menyangka anak saya masih kecil kerana bertubuh kecil. Adakah setiap kali mahu solat perlu tunjukkan Mykad untuk bukti umur?” – Samiratul Fuad
Selepas berlaku salah faham melibatkan jemaah wanita yang hadir ke masjid itu semalam (22 Mac), Pemangku Nazir Masjid Puncak Alam iaitu Ustaz Ahmad Mujahid Mat Zan tampil memberi penjelasan.
Ustaz tersebut ketika dihubungi oleh wartawan Berita Harian mengambil maklum tentang perkara yang berlaku dan mengakui kesilapan tersebut.
Malah, pihak mereka juga akan meletakkan papan tanda yang jelas mengenai perkara itu.
Menurutnya, tiada masalah untuk kanak-kanak yang menjaga adab dan tingkah laku mereka untuk berada di ruang utama.
“Mungkin ketika kami memberi taklimat, ada AJK Masjid yang kurang faham dan tidak jelas,” – Pemangku Nazir Masjid Puncak Alam, Ustaz Ahmad Mujahid.
Umum sedia maklum, para jemaah Masjid Puncak Alam boleh meninggalkan anak-anak mereka di pusat jagaan yang disediakan sementara ibu mereka sedang bersolat.