Jepun terus mempamerkan aksi cemerlang di pentas Piala Dunia kali ini apabila sekali lagi mencipta kejutan menewaskan gergasi bola sepak dunia, Sepanyol, 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Perlawanan terakhir dalam Kumpulan E dianggap penting dan cukup mencabar memandangkan sebelum perlawanan bermula, keempat-empat pasukan termasuk Jerman dan Costa Rica masih mempunyai peluang untuk melangkah ke Pusingan 16.
Bagaimanapun dengan kejayaan Jepun menumbangkan Sepanyol dan kegagalam Jerman untuk menang besar menentang Costa Rica menyaksikan dua pasukan iaitu Jepun selaku juara kumpulan dan Sepanyol yang layak ke peringkat seterusnya.
Walau bagaimanapun, kemaraan skuad kendalian Hajime Moriyasu kali ini dihimpit kontroversi apabila banyak pihak tampil mempertikaikan keputusan yang dibuat pengadil dan pegawai VAR dalam menentukan sama ada gol kemenangan ke atas Sepanyol itu sah atau tidak.
Gol kemenangan yang dijaringkan oleh Ao Tanaka’pada malam tersebut menjadi subjek perdebatan apabila ulang tayang kamera menunjukkan bola yang dihantar oleh Kaoru Mitoma kepadanya telah pun keluar daripada garisan permainan.
Pada awalnya, pengadil dilihat tidak membenarkan jaringan tersebut namun dengan campur tangan pegawai VAR, gol berkenaan kemudian disahkan dan diterima, sekaligus melenyapkan impian Jerman untuk mara ke peringkat seterusnya.
Untuk rekod, Jerman turut tersingkir di peringkat kumpulan dalam edisi Piada Dunia 2018 yang dianjurkan Rusia.
Bagaimana gol Jepun diterima?
FIFA setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau berkongsi foto bagaimana mereka menilai kedudukan bola berkenaan berdasarkan VAR.
Namun, analisis daripada pelbagai pihak sudah boleh diperolehi di atas talian. Salah satunya melalui analisis yang dibuat oleh Henry Bushnell.
Katanya, berdasarkan perspektif kamera sudut mata burung, bola sebenarnya masih belum keluar daripada garisan permainan walaupun dalam ulang tayang yang menggunakan sudut kamera yang berbeza menunjukan kedudukan bola sebaliknya.
Berdasarkan undang-undang FIFA, bola haruslah keluar sepenuhnya daripada garisan permainan atau garisan putih tepi padang untuk bola dianggap sudah keluar.
Namun berdasarkan analisis menggunakan perspektif kamera sudut mata burung, ‘secebis’ bahagian bola masih lagi berada di atas garisan putih dan mungkin sebab itulah gol Tanaka dikira.
Sekiranya gol itu ditolak dan aksi Jepun-Sepanyol berakhir seri, Sepanyol akan mara selaku Juara Kumpulan bersama Jerman di tempat kedua, walaupun berkongsi empat mata bersama Jepun, kerana mempunyai perbezaan gol yang lebih baik.
Sumber: Give Me Sport