Jurugambar terkilan minyak kereta dicuri orang, berlaku masa parkir di Singapura
Seorang lelaki tidak menyangka kenderaan miliknya menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab dipercayai mencuri minyak petrol dari kereta itu ketika berada di sebuah lokasi di Singapura.
Menurut Syahmi Azhari, dia memandu kereta dipercayai jenis Ford Fiesta berwarna putih itu ke negara tersebut namun seolah-olah tidak menyangka kehilangan sejumlah minyak daripada kenderaannya.
“Pergi ke Singapura membawa kereta, minyak kena curi da,” tulis jurugambar dan juruvideo profesional itu menerusi ciapan sekeping gambar di laman Twitter.
Gambar berkenaan memaparkan kenderaan miliknya berada dalam kotak parkir di tepi jalan, namun penutup bagi tempat mengisi minyak dalam keadaan terbuka.
Syahmi berkata, dia tidak pasti sama ada warga Singapura atau orang asing yang melakukan perbuatan terbabit tetapi yakin kehilangan beberapa liter minyak.
Namun begitu, dia tidak berkongsi lebih lanjut berhubung kejadian tersebut yang ‘mustahil’ berlaku di negara maju sehingga menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Rata-rata netizen mempersoalkan bagaimanapun pelaku berbuat demikian, ataupun adakah penutup mengisi minyak itu mudah untuk dibuka selain daripada pemilik kenderaan?
Malah, segelintir individu meminta Syahmi membuat laporan polis sekali gus dapat memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.