Kantoi berfoya dan positif menggunakan dadah, anggota polis dan pendakwa raya ditahan di sebuah pusat hiburan
Seorang pegawai kanan polis bersama 14 anggota serta dua Timbalan Pendakwa Raya ditahan oleh Bukit Aman, dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Seremban.
Kesemua mereka ditahan dalam serbuan jam 2.30 pagi oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Wisma Punca Emas, Jalan Dato Sheikh Ahmad, Seremban, Negeri Sembilan.
Berdasarkan satu laporan polis yang tular menerusi media sosial hanya seorang anggota polis disahkan negatif dalam saringan air kencing.
Difahamkan, kesemua polis yang ditahan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai; BSJN Daerah Tampin; Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban; Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan IPD Seremban.
Dua Timbalan Pendakwa Raya ditahan juga didapati positif dadah adalah Timbalan Pendakwa Raya Shah Alam dan Timbalan Pendakwa Raya, Negeri Sembilan.
Berdasarkan laporan JIPS, kesemua mereka positif dadah jenis ketamin, amphetamin dan methamphetamine.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mengesahkan serbuan di pusat hiburan berkenaan yang dijalankan oleh JIPS Bukit Aman bersama IPK Negeri Sembilan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran terperinci serbuan berkenaan disebabkan pada masa ini siasatan awal masih dijalankan.