Kecoh! Buaya tiga meter ditemui dalam parit kawasan perumahan oleh penduduk.
Seekor buaya ditemukan berada di dalam saluran parit di kawasan perumahan Tabuan Jaya Baru 2 di sini, semalam.
Susulan itu, proses penangkapan reptilia berkenaan telah dilakukan oleh anggota bomba.
Menurut Balai Bomba Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 6.55 petang berhubung kejadian.
“Tiba di lokasi kejadian, anggota bomba bertindak menangkap buaya tersebut dengan menggunakan tali,” maklum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, buaya sepanjang tiga meter itu berjaya ditangkap dan dibawa ke balai untuk diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, dalam perkongsian video oleh pemilik akaun Boss Micheal mendedahkan bahawa reptilia berkenaan sedang ‘menunggu’ di dalam parit itu.
Disebabkan suasana yang agak gelap, anggota bomba terpaksa dibantu dengan penggunaan lampu suluh.
Rakaman tersebut juga mendedahkan haiwan berkenaan telah diikat dengan dengan rapi sebelum dibawa naik atas sebuah trak pikap.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet terkejut dengan penemuan reptilia tersebut berdekatan dengan kawasan perumahan.
Lebih-lebih lagi saiznya yang besar boleh mengancam keselamatan mana-mana individu.
Imbas kembali, penduduk di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang gempar apabila dikejutkan dengan penemuan seekor buaya yang dikatakan tersesat di dalam sebuah parit di kampung itu dua bulan lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya telah bergegas ke lokasi pada jam 3 petang tadi selepas satu video berkenaan penemuan buaya tersebut diterima.
Menurutnya, penduduk kampung tersebut memaklumkan bahawa mereka telah cuba menangkap buaya tersebut namun tidak berjaya.
Reptilia itu dikatakan telah hilang ke dasar parit pada pagi hari yang sama.