Kecoh satu kampung, pokok Akasia hasilkan bunyi menyerupai tangisan budak perempuan. Penduduk di sebuah desa di Jawa Timur, Indonesia dikejutkan dengan fenomena sebatang pokok akasia yang didakwa menghasilkan bunyi seakan-akan tangisan budak perempuan.
Menurut Surabaya Pagi, kejadian aneh dan menyeramkan itu berlaku di Dusun Krajan yang terletak di Puger, Jember baru-baru ini.
Berkongsi kisah tersebut, seorang penduduk, Abdul Aziz tidak mempercayai dakwaan itu seperti yang dibertitahu oleh cucunya.
Dia kemudian bertindak memeriksa sendiri kesahihan dakwaan itu dan meletakan telinga pada pokok berusia 11 tahun itu.
“Memang terdengar suara budak perempuan,” katanya, seperti dilaporkan Surabaya Pagi.
Aziz turut mengakui tidak tahu bagaimana dan mengapa pokok berkenaan mengeluarkan bunyi sedemikian rupa.
Berita mengenai pokok tersebut telah tersebar luas dan orang ramai mula mengunjungi perkarangan rumah Aziz bagi melihat pokok itu sendiri.
Mereka yang hadir turut memeriksa sendiri cerita tersebut dengan cara meletakkan telinga pada batang pokok berkenaan.
“Ramai yang datang (ke rumah saya) untuk melihat kejadian tersebut dan mereka mengaku, memang ada terdengar bunyi ‘tangisan’ pokok itu,” tambahnya.
Malah ada pengunjung yang sanggup beratur dalam satu barisan panjang semata-mata mahu mendengar suara dan mengambil foto dengan pokok itu.
Lebih dahsyat, beberapa individu mendakwa kejadian itu berkait dengan aktiviti alam mistil dan melakukan sesi rugyah pada pokok akasia itu.
Walau bagaimanapun, fenomena tumbuhan yang mengeluarkan suara bukan sesuatu yang asing dan pelik secara ilmiah.
Fenomena itu telah dijelaskan oleh pensyarah biologi di Universiti Jember, Wachyu Subhan.
“Setiap makhluk hidup, termasuk tumbuhan, memiliki metabolisme. Secara alami setiap makiauk hidup ini memiliki keupayaan untuk memastikan metabolisme tetap terjaga,” kata beliau.
Ketika metabolisme terganggu kerana ada suatu bahan yang berlebihan, maka ia akan dikeluarkan atau dibuang dari sistem. Dalam ilmu biologi, proses tersebut dipanggil sebagai perkumuhan.
“Sekarang ini adalah perubahan dari musim kering kepada hujan. Jadi secara semula jadi, mesti ada bahan yang masuk ke dalam batang pokok.
“Proses ini dipanggil rembesan metabolik. Apabila tekanan besar, proses rembesan boleh mengeluarkan bunyi dengung.
*Kekuatan bunyi dengung yang dihasilkan bergantung kepada saiz pori-pori di dalam batang pokok.
“Apabila tekanan di dalam besar manakala pori-pori kecil, bunyi yang dihasilkan juga besar. Ini mungkin diandaikan seperti seseorang sedang menangis,” jelas Wachyu.