Kenal melalui seorang kawan, lelaki terkejut kekasih bawa 23 ahli keluarga masa temu janji yang pertama. ‘Dating’ Kali Pertama, Wanita Bawa 23 Ahli Keluarga Ikut Sekali! Janji temu merupakan waktu untuk saling berkenalan dengan lebih rapat. Biasanya disertai dengan kawan rapat atau ahli keluarga terdekat sebagai peneman, apatah lagi iya janji temu kali pertama.
Bawa 23 Ahli Keluarga
Namun siapa sangka, seorang lelaki berasa kecewa selepas pasangannya membawa bersama 23 ahli keluarganya dalam janji temu pertama diadakan di sebuah restoran di China.
Lapor The Thaiger, lelaki dikenali sebagai Liu dari wilayah Jilin bertemu dengan Zhang selepas diperkenalkan oleh seorang rakan lain.
Mereka kemudian memilih mengadakan pertemuan pertama mereka di sebuah restoran yang sering dikunjungi. Dan Liu bersetuju untuk membayar bil makanan pada hari janji temu tersebut.
Namun, lelaki itu terkejut setelah mendapat tahu Zhang turut membawa 23 saudara maranya untuk makan bersama mereka. Zhang pula menjelaskan tujuannya membawa ahli keluarga makan bersama untuk menguji sikap ‘pemurah’ lelaki tersebut.
“Liu juga terperanjat apabila mengetahui bil makanan mencecah hampir 20,000 yuan (RM12,907).
“Pekerja restoran memberitahu bil yang tinggi itu disebabkan keluarga wanita itu memesan rokok dan alkohol dalam kuantiti yang banyak,” jelas laporan.
Tak Mampu Bayar Bil
Lelaki itu dikatakan tidak mampu membayar dan akhirnya dalam diam menyelinap, meninggalkan tempat berkenaan.
Zhang terpaksa membayar sendiri bil makanan yang dipesan dan berharap pasangannya akan menyumbang separuh jumlah dibayar.
Bagaimanapun, Liu hanya bersetuju untuk membayar 4,000 yuan (RM2,581) sekali gus mencetuskan kemarahan keluarga Zhang yang memutuskan untuk menyaman lelaki itu.
Zhang kemudian menyaman Liu di mahkamah untuk mendapatkan semula semua wang yang dibayar.
Portal Sanook melaporkan keputusan mahkamah memihak kepada Liu yang hanya perlu menampung bil makanan dipesan olehnya dan Zhang yang berjumlah 1,400 yuan (RM903.25).