TerasMalaysia

Kerajaan Kelantan Beri Peruntukkan Sebanyak RM141.2 Juta Ganti Paip Di Empat Jajahan

Subscibe Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini Follow TERASMALAYSIA

Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM141.2 juta bagi kerja-kerja penggantian paip lama sepanjang 226 kilometer (km) di empat jajahan sejak 2019 yang dijangka siap pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor berkata penggantian paip itu membabitkan jajahan Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu dan Machang.

“Selain itu, terbaharu di bawah pakej tiga melibatkan Kota Bharu Utara, Kota Bharu Timur, Tumpat, Kota Bharu 11 dan Kota Bharu Selatan pula dalam proses penyediaan dokumen tender melibatkan penyediaan paip sepanjang 95km dan dijangka siap pada 2024,” katanya.

Beliau menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) yang ingin tahu perkembangan terkini proses penukaran paip di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Azami berkata pembinaan telaga di Loji Rawatan Air (LRA) Tanjong Mas di bawah pakej satu telah mencapai kemajuan sebanyak 77 peratus.

“Di bawah pakej dua pembinaan LRA Tanjong Mas, perancangan kita (Kerajaan Kelantan) adalah membabitkan kapasiti air sebanyak 30 juta liter sehari dan tender dijangka pada bulan ini,” katanya.

Azami berkata bagi cadangan menaik taraf sistem Loji Merbau Chondong pula ia masih dalam proses permohonan peruntukan pinjaman dan dijangka siap pada 2024.

“Loji Merbau Chondong dapat mengeluarkan air bersih sebanyak 60 juta liter sehari sekali gus dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Pulai Chondong khususnya dan sebahagian besar di negeri ini.

“Kerajaan negeri akan melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan berkenaan dengan menyiapkan baki kerja di loji itu membabitkan peruntukan RM1.7 juta dan permohonan sudah dibuat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Leave a Comment