Kesucian Gua Hira tercermar, jemaah selamba buang sampah merata dan conteng nama dekat dinding. KESUCIAN Gua Hira di Mekah yang menjadi tempat pertama Nabi Muhammad SAW menerima wahyu daripada ALLAH SWT dicemari dengan longgokan sampah dipercayai oleh jemaah yang menunaikan ibadah di Tanah Suci itu.
Seorang penceramah agama dari Indonesia, Husein Ja’far Al-Hadar mendedahkan perkara tersebut menerusi satu video yang memaparkan keadaan tersebut ketika sampai di puncak Gunung Jabal Nur.
Menerusi video tersebut, dia memaklumkan bahawa terdapat longgokan sampah ditemui di lokasi berkenaan walaupun ada beberapa beg plastik disediakan bagi pengunjung yang ingin membuang sampah di situ.
Lebih memilukan, turut dipaparkan tulisan nama-nama orang pada dinding di sekitar gua berkenaan.
“Di sepanjang laluan pendakian ini turut ada vandalisme pada dinding yang ada tertulis nama orang yang mungkin nama dia (pendaki) kemudian ada simbol ‘love’ disusuli dengan kekasih atau isterinya.
“Beberapa pelaku itu jelas (didakwa) orang Indonesia, kerana ada nama Rojali, Andryani, Miftah dan Depok (bandar di wilayah Jawa Barat, Indonesia),” katanya dalam video tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet kecewa dengan tindakan segelintir jemaah yang tidak menjaga kebersihan tempat suci agama Islam walaupun mengerjakan ibadah di Tanah Suci Mekah.