TerasMalaysia

Kisah kehidupan seorang isteri yang bekerja di ‘night club’ ini jadi inspirasi dan tauladan kepada warganet

Kisah kehidupan seorang isteri yang bekerja di ‘night club’ ini jadi inspirasi dan tauladan kepada warganet

Kisah penghijrahan seorang wanita yang pernah bekerja di pusat hiburan wajar menjadi inspirasi buat kita yang masih berusaha untuk memperbaiki diri.

Selepas lebih dua tahun bekerja sebagai juruwang di sebuah bar, Khairun Natrah Md Toho, 25, memilih untuk berhenti dan perlahan-lahan mengubah dirinya ke arah yang lebih baik.

Dia yang senang disapa Natrah mengakui berdepan pelbagai tohmahan gara-gara jalan yang dipilih, namun menganggap ia sebagai satu pengalaman yang mematangkan diri.

“Saya berkahwin pada tahun 2019, ketika berumur 21 tahun. Dulu saya bekerja dalam bidang akaun, saya rasa bosan duduk pejabat. Lagipun gaji kerja pejabat cukup-cukup makan je.

“Ketika umur 23, baru saya bekerja sebagai cashier dekat bar club. Saya sempat kerja selama dua tahun tiga bulan. Gaji sebulan boleh cecah RM3,000 hingga RM4,000.

“Pada waktu itu, suami juga tahu mengenai pekerjaan saya. Dia cakap nak kerja boleh, tapi bila sampai masanya, berhentilah. Ramai bagi nasihat, kata kerja tak berkat, tapi masa tu saya ikut kepala sendiri je,” ujarnya.

Dengan bayaran gaji yang berbaloi, Natrah berkata dia hanyut dengan keseronokan ketika bekerja di pusat hiburan berkenaan.

Namun katanya, dia dan suami, Mohammad Faiez Zaidi, 28, menerima banyak cercaan, termasuklah tentangan keluarga yang tidak bersetuju dengan pilihan kerjayanya.

“Jujur saya cakap, hidup dalam tu rasa mewah. Penuh duit, boleh have fun. Memang tak stres kerja di sana, seronok sebab ada muzik.

“Ramai sebenarnya yang bagi tentangan. Ada ahli keluarga yang salahkan suami, orang tanya, kenapa biarkan bini kerja kat tempat macam tu?” ceritanya lagi.

Biarpun diulit keseronokan, Natrah akui hatinya tidak pernah tenang sehinggalah dia akhirnya berhenti kerja pada tahun lalu.

Paling mengujakan, Natrah juga disahkan hamil selepas berhenti kerja, sekali gus membuatkan dia yakin dengan keputusannya untuk tidak lagi kembali ke sana.

“Walaupun seronok kerja, pada masa sama saya rasa tak tenang. Suami paling seronok bila saya berhenti. Dia kata dah sampai masanya.

“Selepas lebih sebulan berhenti kerja, saya dapat tahu yang saya hamil. Rupa-rupanya baby dah ada dalam perut masa saya berhenti tu. Saya kata ini rezeki tuhan. Allah benar-benar dengar permintaan saya.

“Alhamdulillah, saya sekarang perlahan-lahan bertudung. Saya juga dah selamat melahirkan bayi. Anak sulung saya dah berusia tiga bulan,” ujar anak jati Kuala Lumpur itu.

Selepas kisah penghijrahannya tular di media sosial, Natrah turut menerima banyak komen daripada netizen yang memberikan sokongan buatnya.

Di sebalik titipan doa dan kata-kata pujian, ada netizen yang tergamak berkata nista terhadap bayinya sehingga Natrah terpaksa memuat naik sijil perkahwinannya.

“Saya hanya nak kongsi pengalaman. Mungkin ada yang baik, anda boleh ambil. Yang buruk jangan diikut. Saya terkejut kisah ini viral. Tapi saya seronok baca komen positif netizen.

“Ada juga orang komen, dia tanya tu anak siapa? Siap tuduh suami saya jadi pak sanggup sehingga saya terpaksa upload

kad nikah agar ia tidak menjadi fitnah,” ujarnya lagi.

Tambah Natrah, dia enggan ambil pusing dengan komen-komen negatif dan mahu fokus terhadap anaknya yang sedang membesar pada ketika ini.

“Sekarang saya hanya suri rumah. Ada perancangan untuk cari kerja baharu, tapi tak tahu bila. Sekarang hidup saya banyak berubah.

“Dari segi masa, gaya hidup dan sebagainya. Terima kasih atas doa semua. Saya harap doa itu berbalik juga kepada anda semua, saya nak kongsi pengalaman je,” ujarnya mengakhiri bicara.

Baca : Tak payah bersusah beratur, ini cara senang tukar dan aktifkan kad secara online

Leave a Comment